Sorting by

×

Sayu kali pertama terima pakaian raya berjenama

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

BUKIT PIATU 4 Mei – “Alhamdulillah dapat juga anak saya memakai pakaian baharu berjenama tahun ini dan inilah kali pertama kami sekeluarga menjejakkan kaki ke Gedung Jakel dan diberikan pakaian percuma bagi meraikan Aidilfitri tahun ini,” kata ibu tunggal, Siti Hajar Saleh, 39, selepas menemani anaknya dalam Program Pautan Kasih Ramadan anjuran Zakat Melaka, hari ini.

Menurutnya yang menetap di Bukit Piatu itu, dia amat bersyukur biarpun hanya seorang dari enam anaknya menerima pakaian percuma.

SITI HAJAR

“Saya terharu dan bersyukur apabila anak kelima, Mohd Alwi Hasbullah Mohd Sufian, 10 menerima bantuan ini dan sekurang-kurangnya dapatlah mengurangkan perbelanjaan untuk hari raya nanti.

“Biarpun tidak jauh menetap dari sini, ini kali pertama kami ke sini kerana kualiti barangan dan harga yang dijual membuatkan kami terpaksa membeli pakaian raya di kedai lain seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini di Gedung Jakel Euro@Moda di sini hari ini.

Dia yang bekerja sebagai pembantu kedai makan memperoleh gaji RM600 sebulan amat mengharapkan bantuan seperti itu bagi menggembirakan hati anaknya demi menyambut lebaran kelak.

“Kami belum lagi ada persediaan untuk raya tahun ini termasuklah persiapan untuk membeli kuih raya.

“Terima kasih Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi Zakat Melaka yang sudi memilih seorang daripada anak saya untuk menerima bantuan ini dan berharap bantuan seperti ini diteruskan bagi mengurangkan bebanan ditanggung insan memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Nor Asyitah Haron, 36, turut meluahkan rasa syukur terhadap sumbangan sama yang diterima anaknya dalam program itu.

“Alhamdulillah, selain menerima bantuan pakaian anak saya turut menerima duit raya daripada Zakat Melaka dan ini pun cukup menggembirakannya,” katanya.

Anaknya, Muhamad Rifhan Rfiqi Mohd Ruhaizi,8, berkata, sumbangan itu menggembirakannya bersama rakan-rakan sekolah lain yang terpilih dalam program itu.

“Rasa syukur bila ibu beritahu yang saya menerima bantuan ini dan ini cukup memberi makna buat saya dan tidak sabar untuk meraikannya bersama rakan-rakan menjelang Syawal nanti,”katanya.

Program Pautan Kasih Ramadan anjuran Zakat Melaka diadakan hari ini meraikan seramai 100 murid Sekolah Rendah dari tiga daerah di negeri ini membabitkan Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin bagi menyantuni golongan kurang kemampuan termasuk anak fakir, miskin dan yatim piatu.

Seramai lima murid dari setiap sekolah yang terpilih diraikan dalam program selama tiga hari bermula hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

943
Kongsi :
Previous post Zakat Melaka sasar pungutan RM5 juta tahun ini
Next post Jun Hoong layak ke Olimpik Tokyo
Ubah saiz-+=