Sayu hadir konvokesyen mendiang anak
DURIAN TUNGGAL 13 Mac – “Awalnya berat hati saya dan suami untuk hadir tetapi apabila mengenangkan mendiang serta sebagai tanda hormat kepada pensyarahnya atas jemputan, kami sepakat untuk datang.
Itu reaksi ibu penerima Anugerah Anumerta Soh Javid, Chan Geok Bee, 54 apabila mengubah fikiran pada saat hadir untuk hadir menerima anugerah berkenaan bagi pihak mendiang anaknya.
Geok Bee menerima anugerah itu pada Majlis Konvokesyen Ke-17 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), yang disampaikan Canselor UTeM Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam kepada abangnya.
“Baru semalam saya putuskan. Sebelum ini saya wakilkan kakak dan abangnya sahaja tetapi semalam saya tukar fikiran. Saya fikir orang lain anak mereka akan ada bersama hari ini tetapi kami sebaliknya,” katanya.
Menurut Geok Bee, anaknya itu menghembuskan nafas terakhir ketika sedang tidur pada 4 Jun lalu, di rumahnya di Bukit Kepong, Johor selepas beberapa jam terjatuh di bilik air.
“Dia memang seorang anak yang baik, kehilangannya amat dirasai bukan dalam kalangan keluarga sahaja malah jiran kerana dia amat menghormati orang. Kepandaiannya itu membuatkan dia menjadi kamus buat kami sekiranya tidak tahu tentang sesuatu.
“Kami bukan keluarga senang, ayahnya cuma petani dan apabila dia pulang waktu cuti dia akan tolong ayahnya selain dia amat pandai berjimat kerana tidak mahu susahkan kami selain dia seorang anak yang sihat tidak mempunyai penyakit,” katanya yang tidak dapat menahan sebak menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Sains dan Komputer (Kepintaran Buatan).
Perasaan sayu dan sedih itu turut dirasai Taharin Abas, 56, bersama isteri dan anaknya perempuannya yang hadir menerima skrol ijazah bagi pihak allahyarham anak bongsunya Mohamad Farhan Ashraf, 24.
Allahyarham anaknya itu dianugerahkan Ijazah Sarjan Muda Sains Komputer (Media Interaktif) dengan Kepujian secara Anumerta yang meninggal dunia secara mengejut pada 3 Jun lalu.
Katanya, walaupun reda dengan pemergian anak bongsu daripada dua beradik itu namun jauh disudut hatinya sedih kerana anaknya itu dapat hadir untuk menerima skrol selepas bersungguh-sungguh berjuang menyiapkan tugasan.
Sementara itu, bagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja Muhammad Isa Ishak, 26, yang menerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik(Automasi Industri dan Robotik) dengan kepujian berkata, langsung tidak terlintas akan menerima anugerah tertinggi itu selain kejayaan terbabit tidak akan dapat diperoleh tanpa bantuan keluarga, rakan-rakan serta tenaga pengajar.
“Walaupun sibuk dengan aktiviti untuk menguruskan organisasi persatuan pelajar saya juga perlu menumpukan perhatian untuk akademik dan dengan bantuan rakan-rakan saya dapat seiringkan akademik dan aktiviti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.