Sorting by

×

‘Saya tidak sedar bila tangan saya melecur’

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

LENDU 15 April. – “Saya tidak sedar bila tangan saya melecur terkena bahang api kerana ketika itu fikiran saya hanya untuk menyelamatkan isteri, ibu mentua dan tiga anak.

“Hanya selepas api berjaya dipadamkan anggota bomba sepenuhnya dan keadaan menjadi tenang, barulah saya sedar lengan dan bahu kanan serta belakang badan saya melecur,” kata juruteknik kilang Sulaiman Kaus, 42.

SULAIMAN cedera terkena bahang api ketika menyelamatkan keluarganya dalam kebakaran yang memusnahkan kediamannya di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah awal pagi ini. – Foto DIN AHMAD

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana tidak cedera parah manakala anggota keluarganya terselamat daripada bahaya dalam kebakaran yang memusnahkan rumah ibu mentuanya, Norisah Tahir, 79, di Kampung Durian Daun, di sini, awal pagi ini.

Sulaiman cedera terkena bahang api yang marak ketika keluar masuk ke dalam rumah beberapa kali demi menyelamatkan ahli keluarganya termasuk tiga anak berusia empat, lima dan enam tahun.

Sulaiman berkata, ketika kejadian jam 3 pagi itu, beliau dan isteri, Siti Faismah Basir tidur dalam sebuah bilik manakala ibu mentua dan tiga anak tidur dalam bilik masing-masing.

KEADAAN rumah Sulaiman yang musnah terbakar di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah awal pagi ini. – Foto DIN AHMAD

“Saya dikejutkan oleh isteri yang menyedari api marak dari bahagian anjung rumah dan sudah sampai ke ruang tamu.

“Kami segera membawa ibu dan anak-anak keluar dari rumah dalam keadaan terpaksa bertarung dengan bahang api yang sangat panas,” katanya ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Selepas membawa mereka ke bukit di belakang rumah, Sulaiman masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil MyKad dan beberapa dokumen penting yang lain.

“Menyedari kereta Perodua Alza masih mampu diselamatkan, saya masuk sekali lagi ke dalam rumah untuk mengambil kunci kereta sebelum memindahkannya ke halaman rumah,” katanya lagi.

Sulaiman dibawa ke Hospital Alor Gajah oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan diberikan rawatan pesakit luar.

Berikutan kejadian itu, Sulaiman bercadang membawa anggota keluarganya ke kediaman pusaka ibu bapanya di Kampung Solok Air Batu, kira-kira dua kilometer dari Kampung Durian Daun.

SULAIMAN dikunjungi jiran yang bertanya khabar dan melihat keadaan rumahnya yang musnah dalam kebakaran.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka Penolong Penguasa Bomba Soon We Kiang berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah menerima panggilan pada jam 3.03 pagi dan menghantar satu jentera serta tiba dilokasi kejadian pada jam 3.08 pagi.

Katanya, operasi memadamkan kebakaran dibantu satu jentera dan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah.

“Sebuah rumah separuh kekal terbakar hampir 90 peratus dan enam orang dari satu keluarga berjaya menyelamatkan diri dan operasi memadamkan kebakaran ditamatkan pada 6.49 pagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

892
Kongsi :
Previous post COVID-19 bukan halangan Puspanita Melaka kekal aktif
Next post Dugaan Ramadan, rumah pusaka, baju raya anak musnah
Ubah saiz-+=