‘Saya tak ada baju raya pun tak apa’

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 15 April – “Selesaikan anak-anak dulu, saya tak ada baju raya pun tak mengapa,” demikian luahan ibu kepada enam anak ketika berkongsi mengenai persiapan Hari Raya Aidilfitri.

Nur Adila Ismail, 36 tahun berkata, kenaikan kos harga barang memaksa dirinya untuk berkorban barangkali tidak berhias seperti tahun sebelum ini asalkan anak-anak tetap tampil ceria berbusana baharu menyambut lebaran nanti.

Kata Adila sebagai ibu kepada penerima bantuan, Muhammad Izzat Zamri, 12, program ‘Masih Ada Yang Sayang’ anjuran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan SUBWAY MITC itu banyak membantu mengurangkan bebannya sekeluarga saat dia dan suami bergolok-gadai mencari sinar Aidilfitri.

“Suami saya bekerja sebagai Pengawal Keselamatan di SMK Bukit Baru yang gajinya hanya cukup makan sahaja. Nak raya ini, banyak guna duit kalau harap gaji dan bayaran pinjaman sahaja memang susah.

“Kami susah macam mana pun akan fikir anak-anak dahulu dan cuba tunaikan permintaan mereka sebab tak nak mereka sedih tak ada baju baharu tahun ini.

“Mereka adik beradik pesan pada saya mahu ais krim dan kasut baharu sebelum saya tiba ke sini. Syukur, ada bantuan ini dapat saya belikan seorang sepasang (kasut),” katanya.

Sementara itu, Siti Zubaidah Abdullah, 35, yang menemani anak saudaranya Sumayyah Irafiqa, 8, mengganggap inisiatif itu menceriakan kembali suasana membeli-belah sempena hari raya yang tidak mampu dirasai semua golongan di negeri ini.

Katanya sebagai ibu saudara Sumayyah, melihat kanak-kanak itu tersenyum juga sudah membuatkan dia gembira menghadiri program tersebut.

“Dia (Sumayyah) tak lena tidur semalam sebab tahu hari ini nak beli baju raya. Dia seronok, suasana begini dia rindukan bersama arwah ibunya dahulu.

“Saya tidak sabar nak balik beritahu ayah Sumayyah yang anaknya sudah beli baju raya,” katanya.

IMG-20230415-WA0020
SAPIAH menyampaikan duit raya dan kit makanan ringan pada program Masih Ada Yang Sayang di sebuah pasar raya di Ayer Keroh. Foto Aufa ‘Izzati

Bagi Muhammad Irham Muhammad Imran, 10, dia berterima kasih kepada pihak penyumbang kerana memberi peluang membeli belah bersama ibu dan adik di pasar raya itu.

“Saya berterima kasih kepada semua sebab dapat beli kasut, topi, baju raya dan ‘jalan-jalan’ dengan ibu dan adik sekali,” katanya.

Terdahulu, program ‘Masih Ada Yang Sayang’ disempurnakan Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron menyantuni seramai 30 anak-anak kurang bernasib baik seperti asnaf dan anak yatim bagi membeli barangan keperluan Aidilfitri di sebuah pasar raya di Ayer Keroh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9577
Kongsi :
Previous post Penyanyi sambilan maut dirempuh kereta
Next post Klinik Kesihatan Duyong bakal dibina
Ubah saiz-+=