‘Saya seorang sahaja bersuara serak di Melaka?’ – Jailani
AYER KEROH 13 Okt – Exco Pelancongan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis menegaskan dirinya enggan melayan segala spekulasi politik termasuk isu rakaman audio yang dikatakan mirip suaranya tular sejak semalam.
Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia berkata, fokusnya pada masa kini adalah untuk terus bekerja sebagai Exco yang dipertanggungjawab terutama dalam membantu fasa pemulihan pandemik COVID-19 di negeri ini.
“Saya seorang sahaja ke yang bersuara serak di Melaka ini? Ia spekulasi.
“Saya tak nak bercakap tentang spekulasi dan saya tak nak layan khabar angin. Maaf cakap.
“Saya dah beritahu fokus utama kita ialah untuk terus bekerja dan memfokuskan kepada pemulihan negeri, yang lain saya tak nak ambil tahu,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Semalam, satu rakaman perbualan telefon berdurasi 8 minit 21 saat didakwa mirip suara Muhammad Jailani dan bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee bercakap mengenai perkembangan politik Melaka tular di media sosial.
Bagaimanapun masih tiada pengakuan dibuat mana-mana pihak berhubung isu itu buat masa ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri, Muhammad Jailani menyifatkan ia waktu tepat untuk rakyat Melaka memilih wakil rakyat terbaik untuk mentadbir negeri ini.
Beliau berkata, segala-galanya kini terpulang kepada rakyat sama ada mahukan pemimpin yang gemar berpolitik atau mereka yang ikhlas mahu bekerja.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.