Sorting by

×

“Saya nak jalan jauh tuk…”

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BATU BERENDAM 17 Dis. – “Saya mahu minum dengan atuk, saya nak jalan jauh…jalan jauh tuk,” itu kata-kata akhir Muhammad Lutfi Hakim Muhammad Alhafis, 3, kepada datuknya Mohamad Ahad, 67, sehari sebelum terbabit kemalangan maut yang turut meragut nyawa abang dan adiknya.

Menurut Mohamad, cucunya itu berkata sedemikian ketika dia sedang bersarapan pagi pada Selasa sebelum Muhammad Lutfi dijemput ibunya kira-kira jam 11.30 pagi.

Katanya, ketika dia sedang bersarapan cucunya itu datang dan menyapanya dan bertanya sama ada dia sedang menjamah nasi lemak atau sebaliknya lalu menyuarakan ingin makan bersama.

MOHAMAD

“Ketika sedang minum pagi dia datang kepada saya bertanya sama ada saya tengah makan nasi lemak atau sebaliknya dan apabila saya mengiyakannya dia memberitahu mahu makan bersama.

“Apabila saya menyuruhnya meminta dengan nenek, dia terus berkata mahu minum bersama saya kerana hendak jalan jauh,” katanya ketika ditemui media di rumahnya di Taman Seri Jati, Batu Berendam, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam kereta dipandu ibunya Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, terbabit kemalangan di Kilometer 272.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Taman Rekrasi Gunung Lang, dekat Ipoh, Perak.

Nahas tragis itu turut meragut nyawa abangnya Muhammad Adam Hakimi, 7, dan adiknya Muhammad Affan Hafiy, 1, yang maut dilokasi kejadian manakala ibunya yang parah masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.

Mohamad yang juga bapa kepada lapan anak dan 14 cucu berkata, ketiga-tiga cucunya itu adalah budak yang bijak dan mempunyai keletah tersendiri yang sentiasa mencuit hati mereka sekeluarga.

“Kami hanya tahu mengenai kejadian apabila bapa mereka menerima panggilan telefon kira-kira jam 4.30 petang semalam daripada pihak hospital memaklumkan anaknya terbabit kemalangan dan berada di ICU.

“Bagaimanapun, ketika menonton berita di televisyen pada jam 8 malam, kami sekeluarga terkejut apabila mendapat tahu kesemua tiga beradik itu sudah tiada.

“Patutlah malam tadi juga saya turut bermimpi didatangi mereka,” katanya yang akhirnya menitiskan air mata setelah beberapa kali cuba menahan sebak.

Jelasnya, ini pertama kali Nur Aimi Nadiah membawa ketiga-tiga anaknya bersama selepas kira-kira dua bulan bekerja di Pulau Pinang.

Views:

501
Kongsi :
Previous post Panorama, WSH Automotive meterai perjanjian sedia khidmat bas pelancongan elektrik
Next post Jenazah tiga beradik selamat dikebumikan
Ubah saiz-+=