“Saya merayu ambillah tindakan segera” – Penduduk

Masa Membaca:2 Minit, 36 Saat

PANTAI KUNDOR 30 Nov. – Sampai bila? Itu persoalan yang disuarakan penduduk di Kampung Pengkalan Perigi, Tanjung Kling, di sini mengenai isu tapak haram sisa toksik yang masih belum dibersihkan.

Seorang penduduk, Md Daud Mihat, 67 menzahirkan rasa terkilan di atas tindakan yang disifatkan agak perlahan oleh pihak berwajib memandangkan kini sudah lebih sebulan pembongkaran tapak tersebut, namun masih tiada tindakan susulan.

Tegasnya, situasi itu menimbulkan kerisauan penduduk khususnya yang tinggal berdekatan tapak haram tersebut kerana ia dikhuatiri mengancam nyawa dan kesihatan.

MD DAUD

“Perkara ini sudah sebulan lebih, kita orang kampung tak tahu perkembangan terkini bila ia (tong sisa toksik) akan dialihkan. Sebab benda ini mendatangkan mudarat kepada penduduk dan benda-benda bernyawa.

“Kita tak harap apa-apa yang lain, kita cuma mahu perkara ini diselesaikan secepat mungkin. Sampai bila nak biarkan orang kampung sedut udara toksik?,” soalnya.

Nada sama turut disuarakan seorang lagi penduduk, Ismail Hasbullah, 56 yang kecewa dengan tindakan yang disifatkan agak perlahan oleh pihak berwajib untuk menyelesaikan isu berkenaan.

ISMAIL

Dia yang tinggal berhadapan tapak sisa toksik itu memberitahu, sehingga hari ini tidur malamnya bersama keluarga sering terganggu dengan bau-bau yang tidak menyenangkan datang daripada tapak tersebut.

“Bila angin kuat dari laut memang ada bau yang tidak menyelesakan terutama kepada orang tua dan kanak-kanak. Saya merayu ambillah tindakan segera sebelum perkara tak diingini berlaku.

“Jangan sampai apa yang berlaku di Sungai Kim Kim, Johor berlaku di Pengkalan Perigi. Ingat, tapak haram ini juga berdekatan dengan laut. Jangan sampai nasi menjadi bubur,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Pengkalan Perigi, Nazar Derus, 49, berharap suara penduduk setempat mengenai isu berkenaan didengari.

Ujarnya, jika tiada tindakan diambil segera ia bukan sahaja akan memberi kesan kepada penduduk, bahkan kepada haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar.

NAZAR

“Kita percaya isu ini tidaklah besar berbanding isu-isu lain. Tetapi jika tiada tindakan, ia dikhuatiri boleh menjadi letupan. Jadi, kita harap segerakanlah penyelesaian isu ini untuk mengurangkan kerisauan penduduk.

“Jika pihak berwajib tidak mampu selesaikan, kita akan bawa perkara ini ke pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA). Insyaallah kita orang kampung akan gunakan saluran yang betul untuk buat tindakan itu,” tegasnya.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) ke lokasi berkenaan pagi tadi, mendapati ratusan tong yang mengandungi sisa toksik dan bahan terjadual berbahaya di kawasan itu masih belum dibersihkan sehingga ke hari ini walaupun tapak itu sudah dikesan sejak 6 Oktober lalu.

Tinjauan dari udara memperlihatkan kawasan tersebut mula ditakungi air yang bercampur dengan minyak, malah, terlihat kesan takungan itu turut mengalir ke luar.

Kelihatan juga ada beberapa tong yang mulai condong dan dikhuatiri akan tumbang pada bila-bila masa selagi kawasan berkenaan tidak dibersihkan segera.

Bagaimanapun Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Melaka yang dihubungi MHI memaklumkan pihaknya tidak dapat memberi maklumat lanjut memandangkan isu terbabit masih dalam siasatan.

Pengarahnya, Rosli Osman berkata, pihaknya kini sedang menunggu keputusan daripada jabatan kimia sebelum melengkapkan kertas siasatan dan mengambil tindakan kepada pelaku yang terlibat.

Berita berkaitan: Dalang kes sisa toksik sedang dicari

#melakahariini

Views:

1196
Kongsi :
Previous post MBMB terima anugerah Gold Class 2 Award
Next post UTeM bantu mangsa terlibat bencana banjir
Ubah saiz-+=