Sorting by

×

Saya lupa, belum ada lesen motosikal

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KOTA LAKSAMANA 31 Jan – “Saya lupa saya tak ada lesen motosikal. Siang tadi (semalam) pun lupa nak tengok cukai jalan motosikal ini tamat tempoh atau belum,” itu alasan diberikan seorang lelaki selepas ditahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dia antara yang dikenakan saman dalam Operasi Penguatkuasaan Sempena Tahun Baharu Cina 2022 oleh JPJ Melaka di Jalan Syed Abdul Aziz, jam 10.15 malam tadi.

Lelaki berusia 25 tahun itu mendakwa menunggang motosikal terbabit kerana memberi pinjam kereta miliknya kepada rakan yang mempunyai urusan di Kuala Lumpur.

“Kawan saya nak guna kereta kerana dia perlu bawa barang ke Kuala Lumpur. Niat saya nak bantu dia saja.

“Jadi saya beri pinjam kereta dan saya guna motosikal miliknya tak sangka jadi macam ini,” katanya yang dikenakan dua saman.

Sementara itu Pengarah JPJ negeri Muhammad Firdaus Sharif berkata, dalam operasi selama empat jam itu yang berakhir 12 tengah malam pihaknya memeriksa 750 buah kenderaan.

“Hasilnya sejumlah 170 kenderaan diambil tindakan dengan 176 saman bernilai kira-kira RM37,800 atas pelbagai kesalahan dikeluarkan kepada pemandu, penunggang dan pemilik kenderaan.

“Kesalahan paling tinggi membabitkan insurans dan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dengan 114 kes, diikuti tiada lesen memandu 47 dan cermin gelap sebanyak 45 kesalahan,” katanya.

Menurutnya, kesalahan yang turut dikesan dalam operasi itu adalah nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dan kesalahan teknikal dengan 18 kesalahan.

Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata, sepanjang Tahun Baharu Cina ini juga pihaknya turut membuat penguatkuasaan di depoh bas ekspres, Teminal Melaka Sentral dan penyamaran anggota di dalam bas ekspres.

“JPJ bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) juga turut memeriksa seramai 126 pemandu bas dan hasil ujian saringan air kencing dijalankan tiada sebarang kes membabitkan dibawah pengaruh dadah dikesan.

“Malah seramai 12 penguatkuasa juga turut melakukan penyamaran ke atas bas ekspres yang menghala dari Melaka ke Utara dan Melaka menghala ke Selatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2203
Kongsi :
Previous post Pertambahan dua kluster pendidikan di Melaka
Next post Op Tahun Baharu Cina : JPJ Terengganu keluarkan 390 saman sejak 25 Jan lepas
Ubah saiz-+=