Saya beri tempoh seminggu – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

SERI NEGERI 16 Januari – Semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri ini diberi tempoh seminggu bagi menyelesaikan semua aduan yang telah lama tertunggak.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, hal itu perlu diselesaikan segera berikutan terdapat banyak aduan yang diterima pihaknya seolah-olah dibiarkan begitu lama dan tidak mampu diselesaikan oleh sesetengah jabatan atau agensi di negeri ini.

Tegasnya, semua jabatan dan agensi di Melaka perlu bertindak lebih proaktif untuk menyelesaikan semua permasalahan rakyat dan perlu ada maklum balas kepada pengadu sekiranya tidak mampu diselesaikan akibat kekangan yang berlaku.

“Kesemua aduan ini dah dimaklumkan dan dimasukkan dalam sistem aduan yang ada, maka tolonglah jawab dan jangan tidak jawab kerana di dalamnya itu ada nombor telefon dan alamat pengadu, jadi kenalah tahu apa masalah mereka.

“Apa sahaja masalahnya kita kena panggil orang itu, kena nilai suapaya kedua pihak tahu apa masalah dan langkah untuk diselesaikan kerana jika tidak mampu diselesaikan kita mungkin ada budi bicara yang lain…apa saja aduan diterima saya tidak mahu lama (selesai) dan paling lewat pun diselesaikan dua hingga tiga bulan tapi janganlah sampai lima enam bulan dari tahun lepas tidak selesai-selesai.

“Jika gagal saya nak tahu apa punca dia gagal, kalau gagal di sebelah kita, adalah tindakannya tapi kalau gagal di sebelah pengadu kita kena bantu kerana tugas kita untuk membantu dan bukan memperbanyakkan kemelut aduan seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Penjawat Awam Negeri Melaka Tahun 2023 diadakan di Auditorium Seri Negeri, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari, barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), dan ketua-ketua jabatan serta agensi.

Dalam pada itu menerusi amanat bertemakan ‘Rekayasa Perkhidmatan Demi Keberhasilan Optima’ itu, Sulaiman menekankan agar penjawat awam terus mengamalkan budaya kerja yang berintegriti dan bebas daripada sebarang salah laku dan salah guna kuasa.

Malah katanya, bagi mengatasi isu keberkesanan perkhidmatan awam di negeri ini beliau sendiri akan menjalankan sesi walkabout ke setiap agensi dan jabatan negeri ini bagi memastikan segala isu dan permasalahan rakyat diselesaikan segera.

“Tahun ini adalah lebih kepada menyelesaikan isu-isu rakyat di mana saya akan kurang berada di pejabat saya sendiri dan akan turun padang di lapangan terutama menyelesaikan isu ini supaya segala yang tertunggak diselesaikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

14733
Kongsi :
Previous post Anwar mahu penjawat awam buat teguran terhadap pelanggaran undang-undang
Next post Petik dan bayar, produk pelancongan baharu?
Ubah saiz-+=