‘Saya akur keputusan bertanding PRN atau sebaliknya’ – Mas Ermieyati

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

LENDU 29 Okt – “Saya akur kepada keputusan pucuk pimpinan sama ada bertanding atau sebaliknya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN),” kata Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Ketua Bersatu Bahagan Masjid Tanah itu berkata, beliau sanggup menerima apa sahaja keputusan pemimpin Bersatu, khususnya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai aspek berkeaan.

Bagaimanapun, setakat ini Ahli Parlimen selama dua penggal itu belum menerima sebarang arahan daripada barisan kepemimpinan tertinggi parti berkenaan.

“Saya tidak tahu, terserah kepada pucuk pimpinan parti…sekarang pun saya sudah ada banyak kerja sebagai Ahli
Parlimen.

“Tugas sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pun memang banyak dan perlu diberikan perhatian serius,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada 200 anggota komuniti India dalam Parlimen Masjid Tanah di Dewan Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini.

Anggota komuniti berkenaan adalah sebahagian daripada 500 masyarakat India yang dipilih menerima sumbangan wang tunai RM100 seorang, selain kit makanan.

Dalam pada itu, ditanya jika pucuk pimpinan membuat keputusan meminta beliau bertanding, Mas Ermieyati berkata: “Tak ada ulasan.”

Diminta mengulas mengenai desas-desus di peringkat akar umbi yang kebanyakan pihak dikatakan sedia memberi sokongan jika beliau mencabar pemimpin UMNO terbabit, Mas Ermieyati berkata:

“Itu permintaan akar umbi, mungkin mereka tidak suka dengan keadaan sekarang.”

Antara lain desas-desus politik yang bertiap kencang sejak beberapa hari lalu itu ialah Mas Ermieyati akan memberi cabaran kepada pemimpin berkenaan walau ke mana sahaja pemimpin itu bertanding pada PRN Melaka 20 November ini.

Parlimen Masjid Tanah mempunyai 51,815 pengundi di lima DUN, iaitu Ayer Limau, Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Lendu dan Taboh Naning.

Mas Ermieyati adalah bekas Ketua Puteri UMNO dan keluar daripada parti itu pada 1 Julai 2018, iaitu dua bulan selepas
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebelum mengemukakan borang keahlian BERSATU kepada Pengerusi BERSATU ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertengahan Disember 2018.

Mas Ermieyati, 45, yang memenangi kerusi Parlimen Masjid Tanah pada PRU-13 atas tiket Barisan Nasional (BN), disahkan
sebagai ahli Bersatu Cawangan Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah pada 31 Disember 2018.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

561
Kongsi :
Previous post PN tidak pernah tunggu sesiapa – Mohd Rafiq
Next post UTeM masyhurkan keunggulan bahasa Melayu merentas benua
Ubah saiz-+=