‘Saya akan berjumpa pemilik restoran viral’ – Hee Sem

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

TELOK MAS 10 Jun -EXCO Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem turut menasihati peniaga di negeri ini supaya terus menjaga adab bersama pelanggan demi menjaga imej Melaka yang terkenal sebagai negeri pelancongan.

Malah, beliau sendiri akan turun padang untuk berjumpa dan menasihati pemilik restoran di Banda Hilir berkenaan yang didakwa bersikap kurang ajar terhadap pelanggan dengan mengeluarkan kata-kata tidak baik.

“Saya akan pergi melawat dan nasihat pemilik restoran, kita terima banyak aduan jadi kita tak mahu disebabkan satu peniaga ini imej negeri Melaka akan menjadi buruk.

“Sebagai peniaga kita kena layan pelanggan dengan baik, jaga sikap dan adab… jangan disebabkan sikap segelintir ini semua orang Melaka terjejas dan pengunjung akan kata orang Melaka kurang ajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Faedah Perkeso kepada keluarga berkenaan di Tambak Bugis, Bukit Lintang di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Perkeso Melaka, Abd Razak Omar.

Terdahulu beliau telah menyuarakan isu berkenaan di dalam mesyuarat post exco bagi berbincang bersama ketua jabatan terlibat selain mendapat maklum balas.

“Dari segi undang-undang niaga dia (pemilik restoran) tidak salah, hanya sikap dan pertuturan dia memang begitu sejak dahulu,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali meminta peniaga-peniaga di negeri ini khususnya di kawasan pelancongan agar menjaga budi bahasa dan adab ketika menerima kehadiran pelanggan.

Ia susulan isu tular seorang peniaga restoran yang didakwa mengherdik dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pelanggan di Banda Hilir, baru-baru ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1843
Kongsi :
Previous post Kerajaan masih ada dana mencukupi teruskan subsidi bahan api – Tengku Zafrul
Next post Pekerja segera laporkan majikan gagal daftar caruman Perkeso
Ubah saiz-+=