Sawah jadi ‘lautan’ fenomena 10 tahun sekali
BUKIT RAMBAI 17 Mei. – Hampir 24.2 hektar sawah padi di Bukit Rambai dipenuhi air banjir sehingga melimpah ke jalan raya menjadi perhatian penduduk kawasan itu.
Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati Jalan Bukit Rambai-Tangga Batu di sini dilimpahi air yang terperangkap dalam kawasan sawah padi berpunca dari hujan lebat berlaku sejak awal pagi tadi.
Fenomena yang berlaku itu membuatkan ada antara penduduk tidak melepaskan peluang merakam situasi yang berlaku ketika itu.
RAHIM Dolah.Malah, ada juga mengambil peluang memasang pukat dan menjala ikan di sebalik kejadian yang melanda.
Seorang penduduk, Rahim Dolah, 60, berkata, situasi sawah yang bertukar menjadi ‘lautan’ adalah perkara yang jarang berlaku di sepanjang kawasan itu.
Dia yang menetap di Kampung Gelam berkata, kebiasaanya air yang bertakung tidak akan melimpah hingga ke jalan raya berbanding yang berlaku hari ini.
“Fenomena ini berlaku dalam 10 tahun sekali yang mana air akan naik sehinggakan pucuk padi pun tak nampak (tenggelam) dan ia bertukar seperti lautan.
“Perkara ini fenomena biasa cuma suasananya yang jarang berlaku menjadi punca kepada perhatian penduduk di sini.” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Di sebalik fenomena melanda, Rahim turut tidak melepaskan peluang menangguk anak ikan di sepanjang parit berdekatan sawah terbabit.
“Aktiviti ini memang aktiviti kebiasaan saya di petang hari cuma hari ini mungkin usaha lebih sikit untuk dapatkan anak ikan di kawasan ini untuk dijadikan bekalan makanan ikan haruan yang dibela dalam kolam di rumah secara kecil-kecilan,” katanya.
Sementara itu, Dahlan Mohd, 54, turut tidak melepaskan peluang dengan menjala ikan di sekitar kawasan sawah itu.
Kataya, yang tiba sejak 6 petang tadi ditemani anaknya, Mohd Syafiq,15, hasil yang diterima begitu menggalakkan malah di situlah lokasinya menjala ikan tiap kali kawasan itu dinaiki air.
“Sesekali nak merasa makan ikan darat, inilah lokasi untuk dapatkannya terutama jika sawah ini dinaiki air sudah pasti ada hasil lumayan.
“Tangkapan juga bergantung kepada nasib kadang-kala jika baik memang hasil memuaskan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.