‘Satu tong cendol tak cukup, habis awal..’

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 8 Jun – Penganjuran program Melaka Bila Larut Malam pada 1 Jun lalu memberi limpahan ekonomi kepada peniaga sekitar Zon Bebas Kenderaan.

Menurut Pengusaha Cendol Jam Besar, Kassim Abdullah, premisnya turut menyertai program terbabit dan menerima impak cukup positif.

Dia yang beroperasi sehingga jam 1 pagi berkata, pada edisi pertama program terbabit, produk jualannya ‘laku keras’.

“Kebiasaannya untuk Zon Bebas Kenderaan kita sediakan satu tong cendol setiap hari, namun pada program Melaka Bila Larut Malam itu, cendol kami habis awal dek kerana lautan pengunjung yang singgah dan menikmati cendol terlalu ramai. Alhamdulillah.

“Untuk program tersebut pada bulan hadapan kita sudah bersedia dan akan menyediakan dua tong cendol serta masa beroperasi turut dilanjutkan hingga awal pagi. Pekerja juga akan kita tambah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Img 20240608 170052 131
KAKITANGAN Bahagian Promosi dan Pelancongan (BPP), Khairul Nizam Kasim, 39 menyusun barangan cenderahati Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang dijual di Kios TMM2024 di Bandar Hilir. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu, kakitangan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) yang menjaga kios cenderamata sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), Khairul Nizam Kasim, 39 turut mengakui jualan cenderamata meningkat pada program Melaka Bila Larut Malam.

“Pada 1 Jun lalu, kami di sini turut melanjutkan operasi dan menerima kunjungan pelancong dalam dan luar yang membeli cenderamata kenangan.

“Mengikut rekod juga, pembelian cenderamata di sini lebih banyak terjual pada waktu malam dan orang ramai juga tidak mahu melepaskan peluang untuk memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah sambil bercuti di Melaka,” katanya.

Untuk rekod, Kios cenderamata TMM2024 di Banda Hilir beroperasi setiap hari Isnin hingga Khamis pada jam 9 pagi hingga 8 malam manakala pada Hari Jumaat hingga Ahad beroperasi pada jam 9 pagi hingga 10 malam dan untuk Program Melaka Bila Larut Malam dilanjutkan operasi hingga jam 1 pagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

501
Kongsi :
Previous post Parkir bertingkat Banda Hilir sedang dimuktamadkan
Next post Melaka mesra pelancong, menggamit pengunjung
Ubah saiz-+=