Satu lagi laporan polis diterima, menjadikan tiga keseluruhannya

Masa Membaca:48 Saat

ALOR GAJAH 8 Nov – Satu lagi laporan polis diterima berkaitan tindakan calon bertanding membawa penyokong ketika proses penamaan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, setakat ini pihaknya menerima tiga laporan polis membabitkan kejadian itu di Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Tanjung Bidara di sini serta Kompleks Komuniti Desa (KKD) Telok Mas di Melaka Tengah.

Katanya, satu lagi lokasi membabitkan Dewan Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam) Bukit Baru.

“Setakat jam 2.30 petang tadi, tiga kertas siasatan dibuka membabitkan tindakan calon membawa penyokong ke pusat penamaan calon.

“Kertas siasatan itu akan dibuka mengikut Akta 342 dan sekiranya didapati berlaku kesalahan polis akan mengeluarkan kompaun,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah menerima dua laporan polis di Telok Mas dan Tanjung Bidara sebelum satu lagi diterima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Melaka.

Views:

495
Kongsi :
Previous post Polis Melaka terima dua laporan calon bawa penyokong
Next post Kepulangan Idris ke Asahan ‘disambut’ cabaran enam penjuru
Ubah saiz-+=