Sorting by

×

Sate motosikal warisan arwah ayah

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 31 Julai – Ketika rakan sebaya mengimpikan bekerja di pejabat selesa dengan pendingin hawa dan gaji bulanan yang lumayan, Muhammad Ashraf Salleh, 21, tekad meneruskan perniagaan menjaja sate dengan menggunakan motosikal sebelum ini diusahakan arwah bapanya.

Meskipun usahanya itu dipandang sinis segelintir pihak, namun Muhammad Ashraf berasa bangga dengan pekerjaan dilakukan, kerana rezeki diperoleh bukan sekadar untuk meneruskan kelangsungan hidup malah lebih istimewa kerana dia sebenarya menyambung perniagaan dimulakan arwah bapanya.

Muhammad Ashraf berkata, dia membesar dengan wang hasil jualan sate arwah bapanya, Salleh Mahmood, 60, meninggal dunia Disember tahun lalu.

Yakin dengan rezeki halal, anak bongsu daripada enam adik-beradik menetap di Semabok itu berkata, meskipun masih muda dan banyak pilihan pekerjaan lain dia tekad untuk menyambung perniagaan arwah bapanya itu.

“Memang ada peluang kerja lain, namun sayang nak tinggalkan punca rezeki ini kerana dengan menjaja sate arwah dapat sara kami sekeluarga sejak saya kecil.

“Meskipun ada yang memandang sinis sebab masih muda, namun saya percaya pekerjaan menjual sate ini adalah rezeki halal daripada Allah SWT dan sebagai usaha saya untuk meneruskan kelangsungan kehidupan keluarga,” katanya.

Whatsapp Image 2024 07 30 At 2.32.34 Pm
MUHAMMAD Ashraf ketika menjaja sate di tepi jalan berdekatan Taman Sutera Wangi, Batu Berendam.

Katanya, dia kini dibantu sepupunya menjalankan perniagaan sate ‘bergerak’ menggunakan motosikal lama tinggalan arwah bapanya sekitar Taman Ayer Keroh Heights dan Taman Sutera Wangi.

Atas kemahuan untuk menambah pendapatan dan terus maju Muhammad Ashraf mempelbagaikan produk dan sejak sebulan lalu dia menawarkan sate sejuk beku.

“Kebiasaannya lebih 600 cucuk sate ayam dan daging berharga RM1.20 secucuk akan terjual dalam tempoh sehari dan permintaan ini akan meningkat terutama pada awal serta akhir bulan.

“Ketika arwah ayah masih ada kami pernah mempunyai sebuah gerai di Bukit Beruang. Pengalaman membantu ayah sejak sekolah rendah banyak membantu saya menguruskan perniagaan.

“Walaupun kerjaya saya tidak seperti orang lain, namun sekurang-kurangnya Allah beri masa untuk saya berbakti kepada emak,” luahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

191
Kongsi :
Previous post Utamakan pembersihan pasar awam
Next post SUKMA: Ragbi Melaka senarai 12 pemain terbaik
Ubah saiz-+=