Sorting by

×

Sasar satu juta sertai Skuad AADK

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

PANTAI KUNDOR 24 Februari – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyasarkan seramai satu juta rakyat khususnya golongan belia menjadi ahli Skuad AADK.

Ketua Pengarahnya Sutekno Ahmad Belon berkata, Skuad AADK merupakan antara inisiatif yang ditubuhkan bagi membanteras gejala penagihan dadah di negara ini.

Menurutnya, setakat ini AADK telah berjaya menarik lebih 150,000 individu dan pelbagai usaha sedang dilakukan untuk mencapai sasaran tersebut termasuk menarik keahlian daripada golongan pelajar di institusi pengajian tinggi, sekolah dan komuniti.

“Sukarelawan ini tidak semestinya menganjurkan program seperti ceramah anti dadah sahaja, bahkan kita mahu skuad ini melakukan pelbagai aktiviti sihat sebagai salah satu cara mencegah penagihan dadah,” katanya pada sidang media program Walkabout Perdana sempena Peringatan Hari Anti Dadah 2024 di Pantai Puteri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem.

Tambah beliau, skuad berkenaan juga boleh berperanan untuk membantu program Pemulihan Dalam Komuniti.

Jelasnya, ia berikutan terdapat 90 peratus klien AADK tinggal di rumah masing-masing dan mempunyai jadual menjalani rawatan pemulihan.

“Kita sasarkan tahun ini 76 dari setiap 100 client pulih yang mana aktiviti sihat serta kesediaan komuniti ini (Skuad AADK) akan membantu pemulihan mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

780
Kongsi :
Previous post Semakin ramai penagih dadah pulih
Next post Jambatan 68 tahun Sungai Rambai bakal berwajah baharu
Ubah saiz-+=