Sasar peratusan pelajar B40 Melaka menurun
AYER KEROH 21 Mac – Peratusan pelajar B40 di negeri ini diharap akan menurun dalam tempoh lima tahun mendatang, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum.
Bagi merealisasikan hasrat itu, kata beliau, kolaborasi bersama institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini amat penting bagi membantu golongan berkenaan mendapat pendidikan.
“Saya teruja apabila Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCoST) bersama Jabatan Pendidikan Negeri membuat kolaborasi tentang hala tuju anak-anak B40 ini.
“Kalau ini diteruskan saya rasa dalam tempoh lima tahun dari sekarang peratusan anak-anak B40 Melaka akan berkurangan, apabila pelajar ini mendapat pekerjaan sudah tentu mereka mempunyai masa depan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi Guru-Guru Kaunseling Negeri Melaka dan Pelancaran Program Jana Pendidikan B40 (PJP40) di sebuah hotel di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MiCoST, Datuk Mohamad Azmi Sabtu; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Mohd Ghazali Ahmad; Pengarah PJP40, Muhammad Faisal Baba dan bahagian pengurusan tertinggi MiCoST.
Dalam pada itu, Ibrahim turut menyarankan guru-guru kaunselor di negeri ini dapat membantu pelajar B40 mendapat pendidikan di IPT.
“Sekurang-kurangnya seorang guru kaunselor dapat mencari empat orang pelajar B40 untuk mendapat pendidikan di IPT.
“Selain itu beri juga peluang kepada pelajar bukan Islam dalam kategori B40 untuk melanjutkan pelajaran,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.