Sasar ibu tunggal beri kursus bimbingan jadi usahawan
BANDARAYA MELAKA 26 Jun – Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) menyasarkan golongan ibu tunggal dan golongan B40 dengan menyediakan kursus kemahiran asas menjadi usahawan.
Pengerusi DMDI Putrajaya yang juga Presiden Persatuan Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), Datuk Joyah Abdul Rashid berkata pihaknya sebelum ini telah memulakan kursus kemahiran kepada golongan terbabit di sekitar Putrajaya dan Melaka.
Katanya, kursus itu akan diperluaskan di negeri-negeri lain bagi memberikan kursus bimbingan kemahiran kepada golongan sama.
“Menerusi kursus ini DMDI akan memberikan ‘tool kit’ bernilai RM4,500 kepada golongan sasar ini sebagai bimbingan kepada mereka memulakan perniagaan.
“Dan kita juga akan membuat ‘follow-up’. Sekiranya mereka gagal berniaga, kerana kita mahu membimbing mereka ini keluar dari kepompong yang lama sehinggalah mereka mampu meniaga sendiri tanpa bimbingan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Anugerah dan MoU Smart Partnership Usahawan IKS di sebuah hotel di sini hari ini.
Penganugerahan terbabit disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Presiden DMDI Malaysia, Datuk Md Nasir Ghani dan Pengerusi DMDI Melaka, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.
Mengulas lanjut, Joyah berkata menerusi kursus bimbingan di bawah DMDI seramai 193 individu berjaya membuka cawangan seluruh negara berasaskan bimbingan dalam bidang ‘child care’.
“Kita mempunyai pelbagai bidang namun bidang ‘child care’ ini sering mendapat permintaan.
“Di Melaka, lebih 10 penerima anugerah pada majlis ini semua datangnya dari bidang ‘child care’, dan dijangka pada masa akan datang jumlah ini akan meningkat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.