Sorting by

×

Sasar bina 4 lagi perpustakaan luar bandar

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

ASAHAN 7 Mei – Empat lagi perpustakaan dirancang akan dibina di kawasan luar bandar dan perkampungan masyarakat Orang Asli di Negeri Melaka pada tahun ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pembinaan perpustakaan hasil inisiatif Yayasan Kebajikan BUDIMAS itu disasarkan akan dibina di perkampungan masyarakat Orang Asli atau kawasan pinggir bandar.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, setakat ini Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti lokasi yang sesuai bagi pembinaan kemudahan itu.

“Pembinaan perpustakaan ini disasarkan untuk kemudahan anak-anak kawasan luar bandar atau mereka yang kurang kemampuan. Selepas ini mereka akan menikmati taraf pendidikan yang sama seperti rakan-rakan lain di bandar.

“Menerusi inisiatif ini, Yayasan Kebajikan BUDIMAS akan menyumbang peruntukan pembinaan perpustakaan sebanyak RM170,000 yang dilengkapi lebih 4,000 buku, projektor, ruang pendidikan serba moden serta pelbagai lagi.

“Kerajaan Negeri menzahirkan terima kasih kepada Yayasan Kebajikan BUDIMAS kerana memilih Melaka dalam melaksanakan inisiatif ini,” katanya pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perasmian Perpustakaan Kanak-Kanak BUDIMAS Kampung Orang Asli Gapam Baru, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong serta Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Zahari Abd Kalil.

Yang turut hadir, Pengarah Jakoa Melaka dan Negeri Sembilan, Shahrani Idderis, Pengerusi Yayasan Kebajikan BUDIMAS, Yang Mulia Tunku Datuk Yaacob Khyra; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budimas, Anne Rajasaikaran serta tetamu lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

163
Kongsi :
Previous post Ketua Menteri raikan 430 warga pendidik SRA JAIM Alor Gajah
Next post Sahut slogan ‘Pertanian Adalah Perniagaan’
Ubah saiz-+=