Sasar anak muda sertai Paramedik Komuniti
SERI NEGERI 30 November – Anak muda di negeri ini disaran supaya menyertai program Paramedik Komuniti yang bakal diperkenalkan di setiap kampung di Melaka bermula tahun hadapan.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, program sukarelawan itu secara tidak langsung mampu meningkatkan lagi pengetahuan berhubung bantuan awal kecemasan dalam komuniti.
Katanya, apa yang membanggakan inisiatif seumpama itu adalah yang pertama diperkenalkan di negara ini dalam memperkasakan lagi perkhidmatan kesihatan sehingga ke peringkat akar umbi.
“Jika mendapat rawatan awal peluang untuk menyelamatkan nyawa mangsa ditimpa kecemasan juga menjadi lebih tinggi.
“Kita faham ada yang sakit di kampung kadangkala mereka terpaksa menunggu ambulans, barulah dapat rawatan.
“Menerusi program ini juga kita mahu ada sikap cakna dalam kalangan komuniti bagaimana mahu merawat dan menyelamatkan pesakit ini menggunakan asas kaedah penyelamatan,” katanya pada sidang media Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Dr. Muhamad Akmal berkata, setakat ini tahap pengetahuan komuniti berhubung bantuan awal kecemasan masih lagi rendah, berikutan itu ia perlu diperkasakan.
Menurutnya, inisiatif itu dijangka diperkenalkan secara berperingkat ke setiap kampung di Negeri Melaka bermula Februari 2024.
“Jadi saya mempelawa anak muda sertai program ini, sukarelawan juga akan menikmati elaun. Kepada yang berminat nantikan (dan) pantau yang akan kita kongsikan nanti.
“Sukarelawan akan menghadiri kursus bantuan awal kecemasan dikendalikan agensi berkenaan dan menerima diberikan sijil yang mengiktiraf kemahiran mereka dalam merawat pesakit. Sijil ini sah digunakan bagi tempoh lima tahun,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.