Sasar 75 peratus SSL beras negara

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BEMBAN 27 Feb. – Kerajaan menyasarkan pengeluaran beras dalam negara mencapai 75 peratus tahap sara diri atau self-sufficiency level (SSL) dalam tempoh lima tahun lagi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, setakat ini pengeluaran beras dalam negara bagi memenuhi keperluan domestik hanya mencapai SSL 70 peratus dan selebihnya bekalan beras import meliputi beras premium termasuk basmathi, beras perang serta pelbagai lagi.

“Kita akan meningkatkan SSL beras kepada 75 peratus dengan mengusahakan pelbagai langkah termasuk mempertingkatkan teknologi pengeluaran agar ia mampu melonjakkan hasil penghasilan beras dari pesawah.

“Sasaran dalam lima tahun lagi akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa berikutan beberapa faktor yang menjadi kekangan kepada perkara terbabit termasuk isu tanah dan pengairan akan diperincikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Insentif Teknologi Pelan Jana Semula Ekonomi  Negara (PENJANA) Jabatan Pertanian negeri di Dewan Terbuka Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Bemban, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Wira Ghazalee Muhamad dan Timbalan Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan), Eliyas Saad.

Program yang diadakan pada skala akhir bagi tahun 2020 itu telah mengagihkan bantuan kit teknologi pertanian membabitkan 600 penerima dari semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Jasin dan DUN Asahan dalam Parlimen Alor Gajah.

Kit teknologi peralatan pertanian itu meliputi baja, benih dan peralatan pertanian bernilai RM500 buat setiap penerima dengan peruntukan RM50,000 bagi setiap komuniti.

“Bagi penerima tahun 2020 di bawah peruntukan PENJANA sebanyak 13,524 penerima membabitkan 632 komuniti seluruh negara telah diagihkan dengan peruntukan sebanyak RM7.32 juta bagi menggalakkan dan merangsang pertumbuhan pertanian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

941
Kongsi :
Previous post COVID: Sarawak fokus selamatkan nyawa, PRN kemudian- Abang Johari
Next post Kit pertanian PENJANA jimat perbelanjaan dapur
Ubah saiz-+=