Sasar 660,000 orang Melaka daftar PADU
ASAHAN 11 Januari – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Perangkaan menyasarkan seramai 660,000 penduduk Melaka akan melengkapkan pendaftaran Pengkalan Data Utama (PADU) sehingga pengunjung Mac depan.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, usaha serta kempen secara menyeluruh akan dijalankan bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai.
Katanya, selain Jabatan Perangkaan, Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) juga akan digerakkan bagi memastikan rakyat mendapat pendedahan, sekali gus melengkapkan pendaftaran PADU.
Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, bagi Negeri Melaka setakat 10 Januari, seramai 35,000 isi rumah direkodkan sudah mendaftar dan angka itu dilihat masih agak rendah.
“Jadi usaha lebih agresif ke arah itu perlu dilaksanakan, pengerusi JPKK juga perlu memainkan peranan dalam membantu ketua isi rumah khususnya di kawasan luar bandar, mungkin mereka berdepan kekangan untuk kemaskini atau mendaftar PADU.
“Selain itu saya menasihatkan orang Melaka jangan takut untuk mendaftar PADU ini kerana jika lewat berbuat demikian kita bimbang mereka akan terlepas bantuan yang bakal disalurkan oleh Kerajaan Pusat,” katanya.
Beliau berkata, demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke beberapa program pertanian sekitar Dewan Undangan Negeri Asahan bersama wakil Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), hari ini.
Menurut Fairul Nizam, pihaknya juga telah mengadakan perjumpaan dan berbincang bersama wakil Jabatan Perangkaan dan semua pengurus PEDi di Melaka bagi melihat gerak kerja yang diaturkan.
“Menerusi kerjasama Jabatan Perangkaan, satu kaunter turut dibuka di Lobi Kompleks Seri Negeri bagi memudahkan kakitangan untuk mendaftar PADU,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.