Sasar 420 penerima vaksin di Masjid MITC
AYER KEROH 18 Julai – Seramai 420 penerima disasarkan diberi suntikan vaksin COVID-19 sehari di pusat pemberian vaksin di Masjid Al Alami MITC.
Imam 2 masjid itu, Ustaz Muhammad Khidir Bahri berkata, pihaknya menyasarkan invidu penerima dalam kalangan anak kariah masjid itu.
Katanya, proses suntikan vaksin hanya dijalankan di pekarangan masjid dengan lima bahagian disediakan.
“Setiap bahagian akan dijaga oleh seorang doktor dengan sasaran 75 individu diberi suntikan dalam satu-satu masa.
“Setakat ini saya dimaklumkan penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid Al Alami MITC sudah mengeluarkan jadual penggiliran program ‘outreach’ di masjid yang terpilih bagi menjalankan program ini.” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, MHI melaporkan empat masjid di negeri ini telah dipilih untuk dijadikan pusat vaksinasi terbaharu melalui kerjasama kerajaan negeri bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Inisiatif itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dalam Majlis Amanat Penjawat Awam Julai 2021 pada Jumaat lalu, bagi memperhebatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan sasaran 14,000 suntikan sehari.
Empat masjid itu adalah Masjid Al Alami MITC, Masjid Ar Rahman Tanah Merah, Krubong, Masjid Jamek Ar Rahman Kampung Pulai, Jasin dan Masjid Tun Khalil, Asahan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.