SASAR 3,000 SERTAI JELITA SETIAP TAHUN – TPM

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

DURIAN TUNGGAL 4 Disember – Program Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement (JELITA) menyasarkan sekurang-kurangnya 3,000 peserta pada setiap tahun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata program di bawah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) itu sebelum ini menetapkan sasaran 15,000 penyertaan dalam tempoh lima tahun.

Menurut beliau, JELITA@KPT Summit 2024 merupakan satu inisiatif untuk mencipta perubahan signifikan bagi wanita dalam bidang TVET dan seterusnya melahirkan graduan wanita yang kompetitif serta bersedia menghadapi cabaran ekonomi digital dan Revolusi Perindustrian 4.0.

“Pihak kerajaan telah menyalurkan kepada Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) mengendalikan TVET JELITA ini, penyertaannya sangat menggalakkan tetapi belum mencapai angka sasaran.

“Pada hemat saya sehingga akhir tahun hadapan 2025, saya harap mereka akan dapat sekurang-kurangnya 50 peratus daripada sasaran kerana saya menyasarkan jumlah 15,000 itu dalam tempoh lima tahun.

“Ertinya sebanyak 3,000 penyertaan dalam tempoh setahun, di mana kursus-kursus yang ditawarkan (di bawah JELITA) bukanlah kursus konvensional tetapi antara kursus ‘High TVET’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup JELITA@KPT Summit 2024 di Dewan Canselor UTeM, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan lain-lain barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memaklumkan program JELITA memperlihatkan satu impak yang cukup baik kepada setiap pesertanya terutama dalam sudut gaji yang lebih lumayan.

“Apabila saya menyampaikan surat-surat tawaran, mana-mana individu yang telah tamat kursus itu sebenarnya gaji premium yang ditawarkan adalah lebih RM4,000.

“Itu sebagai satu bukti bahawa mereka yang berkemahiran boleh menghasilkan produktiviti tinggi dan industri akan mengambil jurusan daripada TVET ini untuk menjana pendapatan lebih,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

52
Kongsi :
Previous post DI MANA NIVESHINI?
Next post TIGA INSTITUSI TVET TERJEJAS BANJIR SEGERA DIBAIKI – AHMAD ZAHID
Ubah saiz-+=