Sasar 25,000 kakitangan syarikat air jalani latihan di MWI

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

BANDARAYA MELAKA 30 Mei – Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) menerusi anak syarikatnya Institut Air Melaka (MWI) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan rakan strategik bagi menaik taraf kecekapan tenaga kerja dalam industri air.

Majlis MoU antara MWI, PBA Resources (PBAR) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTM) serta Malaysian Water Academy (MyWA) itu disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari dan Timbalan Pengerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Datuk Zaidi Attan.

Dalam majlis berkenaan, MWI diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rahman Ab Rahman dan Pengurus Besarnya, Ir Zainal Abidin Ab Rahman manakala PBAR diwakili Pengarahnya, Datuk Ir Jaseni Maidinsa.

JTM diwakili Ketua Pengarahnya, Shakib Ahamad Shakir manakala MyWA diwakili Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Ir Syed Mohamed Adnan.

Zaidi yang juga EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, berkata, jalinan kerjasama itu adalah sebahagian daripada hasrat kerajaan negeri yang mahu meningkatkan profesionalisme kakitangan dalam industri air.

Katanya, ia juga adalah tawaran baharu kepada syarikat operator air di negara ini untuk menaik taraf kecekapan kakitangan dalam operator air.

“Sehubungan itu, MWI ditubuhkan Mac tahun lalu menjadi titik mula untuk menawarkan program latihan kepada industri bagi menyediakan ‘personnel’ berkualiti sehingga meletakkan taraf keupayaan operator di seluruh negeri dan negara ke peringkat lebih tinggi.

“Perkara itu bermula dengan modul kakitangan kemudian akan dikembangkan kepada modul lain pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani dan penyerahan MoU berkenaan di Wisma Air di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada peringkat permulaan MWI memfokuskan kepada 700 kakitangan SAMB untuk menjalani program dan latihan sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

“Kita telah melihat keperluan untuk 24,000 kakitangan air di seluruh negara untuk mencapai satu tahap dengan standard tinggi bagi memenuhi hasrat kerajaan.

“Kita akan tentukan kualiti standard bagi kakitangan dalam industri air supaya impaknya membantu kenaikan gaji kerana untuk meletakkan perkara itu perlu ada sijil.

“Jadi kita berikan sijil supaya sesuai dengan keperluan semasa sebagaimana disyaratkan oleh JTK,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1615
Kongsi :
Previous post Sindiket seleweng 10,000 liter diesel tumpas
Next post Polis tahan empat lelaki, rampas 39 kilogram syabu di Cheras
Ubah saiz-+=