Sasar 100,000 nikmati produk pelancongan percuma di Melaka
BANDARAYA MELAKA 20 Februari – Melaka menyasarkan seramai 100,000 pengunjung dan pelancong bakal menikmati produk pelancongan percuma sepanjang hari ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman memaklumkan, unjuran itu ditetap berdasarkan sambutan hangat yang diterima di 10 lokasi pelancongan yang menawarkan kemasukan secara percuma bersempena Tarikh Memperingati Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, hari ini.
Menurut beliau, antara lokasi yang mendapat sambutan hangat ialah Zoo Melaka yang menerima lebih 11,000 pengunjung setakat jam 11 pagi.
Selain itu, katanya, muzium-muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Melaka River Cruise dan Menara Taming Sari turut menerima kehadiran luar jangka hampir 4,000 orang setakat 11 pagi.
“Sebenarnya inisiatif ini adalah untuk menaikkan ekonomi rakyat kerana Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) ini kita buat bukan hanya untuk Kerajaan Negeri tetapi untuk rakyat dengan memperkasa ‘People Economy’.
“Seperti kemasukan percuma ini kita lihat jumlah pengunjung yang datang begitu ramai. Jadi sudah semestinya peniaga-peniaga kecil yang berniaga mendapat tempiasnya.
“Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan dan kita harap malam kemuncak di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir malam ini turut dibanjiri pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Acara Persembahan Tarian Singa dan Pemberian Angpau kepada pengunjung Melaka River Cruise, di Taman Rempah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Sa’ari Basiron.
Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, Kerajaan Negeri tidak menolak kemungkinan akan terus menganjurkan kemasukan percuma ke destinasi pelancongan Melaka pada masa akan datang.
“Insya-Allah, kita juga akan melakukan penambaikan selepas ini antaranya dalam sudut pemakluman yang jelas dan terperinci kepada pengunjung dan pelancong,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan lebih ramai pemain industri pelancongan untuk bersama Kerajaan Negeri memajukan sektor pelancongan Melaka sempena TMM2024.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.