Sarang sindiket pelacuran warga Afrika di Cyberjaya diserbu, 10 ditahan
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata tujuh warga Tanzania dan tiga warga Uganda berusia 23 tahun hingga 37 tahun itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam pelacuran dan kerja tidak bermoral.
“Daripada kesemua tahanan ini, dua wanita masing-masing warga Tanzania dan Uganda telah dikenal pasti merupakan ‘mummy’ iaitu orang tengah dalam aktiviti pelacuran ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati sembilan wanita warga asing yang ditahan itu masuk ke Malaysia secara sah sebagai pelancong asing dan seorang wanita pula masuk sebagai pelajar antarabangsa di sebuah pusat bahasa di ibu negara.
Beliau berkata sindiket pelacuran itu menyasarkan pelanggan daripada kalangan pelajar antarabangsa dan lelaki Afrika terutamanya dari Nigeria dengan kadar bayaran RM200 hingga RM500 sekali langganan.
Turut dirampas dalam operasi itu adalah sembilan pasport, 13 telefon bimbit, satu kad akses, satu kad pelajar, empat set kondom dan sembilan buku nota yang merekodkan bukti langganan seks, katanya.
Khairul Dzaimee berkata kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya untuk siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Jabatan Imigresen tidak menolak adanya sindiket pelacuran warga asing terutama dalam kalangan pelancong dan pelajar antarabangsa dari Afrika.
“Susulan daripada operasi ini, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan dalang sebenar di sebalik aktiviti pelacuran serta rangkaian sindiket ini,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.