Saran Melaka jadi pengeluar produk berteknologi tinggi
SERI NEGERI 5 Jun – Melaka disaran menjadi negeri pengeluar produk berteknologi tinggi pada masa akan datang dan mampu membuka industri sendiri di luar negara.
Itu hasrat yang disuarakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Menurut Tun Dr. Mohd Ali, fokus terhadap pembangunan teknologi perlu diberikan memandangkan sebelum ini, negeri ini hanya menjadi pembekal kepada tenaga kerja mahir dan tidak memberi tumpuan dalam penghasilan produk sendiri.
Untuk itu, beliau menyarankan agar institusi pengajian tinggi berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri ini dapat memainkan peranan untuk bkan sahaja melahirkan graduan mahir, bahkan mempunyai sinergi dengan industri untuk membangunkan teknologi sendiri pada masa akan datang.
“Saya menyambut baik usaha Ketua Menteri mewujudkan Taman Teknologi Jerman (German Technology Park) kerana saya melihat ini satu peluang untuk kita mendapat dua manfaat dalam satu masa, iaitu selain menarik kehadiran pelabur, ia juga dapat membantu kita mempelajari cara negara maju membangunkan teknologi mereka.
“Saya berharap, Melaka mampu menjadi pengeluar produk berteknologi tinggi dan boleh membuka kilang di luar negara suatu hari nanti.
“Saya tidak mahu kita hanya menjadi pembekal tenaga kerja, sebaliknya menjadi pencipta kepada sesuatu teknologi pada masa akan datang,” katanya pada wawancara khas bersama Melaka Hari Ini bersempena pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri bagi penggal kedua, di pejabatnya.
Dalam pada itu mengulas mengenai cadangan membangunkan koridor ekonomi baharu dikenali sebagai Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ), Tun Dr. Mohd Ali menyifatkan ia merupakan projek terbaik untuk menjadi pemangkin ekonomi negeri.
Menurutnya, model SM-WEZ yang dirancang mampu menjadikan Melaka sebahagiannya seperti Gold Coast di Australia dan sebahagian lagi seperti di Rotterdam, Belanda yang mempunyai pelabuhan dinamik.
“Untuk merealisasikan perkara ini, kita kena cari pelabur-pelabur yang besar dan berkualiti.
“Ia mungkin memakan masa sedikit, tetapi saya percaya ia boleh berjaya kerana Kerajaan Negeri sudah ada perancangan yang boleh dijual kepada pelabur-pelabur di kawasan tersebut,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.