Saran hantar anak OKU ke PPDK , bela masa depan
JASIN 12 September – Keluarga yang mempunyai anak Orang Kurang Upaya (OKU) digalakkan untuk menghantar anak ke Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) bagi mendapatkan bimbingan dan latihan kemahiran sekali gus menjamin masa depan mereka
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, setakat ini sebanyak 17 PPDK telah diwujudkan di Melaka yang mana setiap PPDK boleh menampung sehingga 30 pelatih.
“Saya menyarankan kepada golongan ibu bapa di negeri ini, kalau mereka ada anak yang kurang bernasib baik ini, hantar lah mereka ke PPDK.
“Mereka perlukan bimbingan dan kawan-kawan, saya nampak dengan tertubuhnya banyak PPDK di negeri ini, nasib anak-anak kurang bernasib baik ini sentiasa terbela.
“Di PPDK mereka diberikan pendidikan dan layanan yang sangat baik oleh petugas yang dilantik, saya percaya inilah satu-satunya tempat yang boleh menjamin masa depan anak-anak ini,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas merasmikan Semarak Merdeka Madani 2023 PPDK daerah Jasin di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi PPDK Nur Shahirah Merlimau, Normah Said.
Katanya, setiap PPDK yang diwujudkan telah mendapat pembiayaan oleh kerajaan bagi memastikan segala urusan pendidikan dan penjagaan anak-anak kurang bernasib baik terjamin.
“Untuk menjadi petugas PPDK juga kita mesti mempunyai hati yang baik dan sayang terhadap insan istimewa ini.
“PPDK juga diwujudkan atas kesedaran orang ramai untuk membantu anak kurang bernasib baik ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.