Santuni sekolah, perkasa akademik

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KUALA LINGGI 4 Januari – Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) menerusi misi bantuan persekolahan hasil inisiatif pihak swasta mampu membantu kerajaan negeri mencapai hasrat meningkatkan pencapaian akademik dalam kalangan murid dan pelajar di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, berikutan itu pihak swasta beroperasi di Melaka diminta bergerak aktif bersama Kerajaan Negeri dalam menjayakan hasrat itu.

Ab Rauf berkata, sumbangan daripada pihak swasta mampu membantu meningkatkan lagi pencapaian aspek pendidikan di Negeri Melaka.

“Kerajaan memang ada sediakan peruntukan untuk pendidikan, tetapi jika pihak swasta turut menyokong hasrat ini ia amat dihargai, inisiatif seperti ini bakal memberikan manfaat amat besar kepada pihak sekolah dan anak-anak kita.

“Terima kasih diucapkan kepada Edra Power Holdings Sdn Bhd yang bersama-sama membantu sekolah terlibat, diharapkan program CSR ini diperluaskan ke seluruh daerah lain di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sokongan Didikan dan Pelancaran Kempen Sumbangan Buku EDRA di Stesen Loji Janakuasa EDRA, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah; Timbalan EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta Pengerusi Edra, Dai Honggang.

Sumbangan itu membabitkan bantuan baucar kasut dan beg bernilai RM120 selain bantuan kewangan antara RM4,000 hingga RM6,000 untuk 10 sekolah dalam Daerah Alor Gajah.

Pada program sama, Edra Power Holdings turut menyampaikan sumbangan 2,000 buku latihan untuk subjek matematik dan sains.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1205
Kongsi :
Previous post Banjir kembali landa Johor, empat daerah terjejas
Next post Ajal penunggang motosikal terjatuh ke dalam parit
Ubah saiz-+=