Santuni bekas wartawan Melaka pernah berjasa – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 19 November – Ziarah kasih bagi menyantuni bekas wartawan di negeri ini perlu diadakan sebagai tanda menghargai mereka yang pernah berjasa untuk Kerajaan Negeri.

Program itu boleh dilakukan menerusi Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) yang berperanan menjaga kebajikan ahli-ahlinya selain bekas wartawan yang pernah berkhidmat sebelum ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, inisiatif itu secara tidak langsung memperluaskan lagi peranan PENDIKA ke peringkat lebih tinggi.

“Selaku kelab media di Melaka, sudah semestinya tanggungjawab PENDIKA adalah menjaga kebajikan ahli-ahlinya.

“Saya menyeru kepada PENDIKA, di samping menjaga kebajikan ahli yang ada, luaskan peranan dengan menyantuni bekas wartawan yang ada dalam negeri ini.

“Mungkin mereka sebelum ini banyak berjasa kepada Kerajaan Negeri, kita perlu lihat kebajikan mereka dan sekiranya ada keperluan boleh bantu di peringkat Kerajaan Negeri kita akan cuba bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-4/2023 PENDIKA yang diadakan di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd, Mohd Norlisam Mohd Nordin dan Pengerusi PENDIKA, Amir Mamat.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam turut berharap program ziarah kasih berkenaan dapat disertai Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Bila diadakan (ziarah kasih) terpulang kepada PENDIKA, kita minta senaraikan dahulu siapa yang ingin diziarahi, mungkin kita boleh minta Ketua Menteri sekali (menziarahi) sebagai tanda penghargaan kepada bekas-bekas wartawan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

862
Kongsi :
Previous post 2024, 2025 tahun penting pengamal media Melaka
Next post Tapak kaki harimau ditemukan, penduduk berjaga-jaga
Ubah saiz-+=