Santai ‘ride & run’ Banda Hilir dapat sambutan
BANDA HILIR 28 Ogos – Aktiviti lari dan kayuh secara santai di Banda Hilir semakin diterima oleh pengunjung meskipun baru minggu kedua tempoh percubaan zon bebas kenderaan itu dilaksanakan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, sambutan menggalakkan itu boleh dilihat menerusi ‘Crowd Monitoring System’ yang mencatatkan lebih 3,000 pengunjung dalam tempoh satu jam selepas beberapa jalan di kawasan itu ditutup.
Tambahnya, selain menjadi lokasi berswafoto, pihaknya akan menambah pelbagai lagi tarikan baharu terutama di kawasan bangunan merah itu agar ia lebih meriah pada masa akan datang.
“Minggu kedua ini respon diberikan mereka semakin baik di mana lihatlah malam ini ramai yang bergambar di bangunan merah seterusnya meninggalkan kenangan di sini.
“Kita akan mempelbagaikan lagi aktiviti di sini misalnya meletakkan enam stesen untuk busking malah kita juga mempunyai tempat peragaan kebaya Baba dan Nyonya untuk mereka datang bergambar nanti,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).
Mengulas mengenai kemudahan petak parkir di kawasan berkenaan, ujarnya, beberapa lokasi parkir kenderaan telah dikenal pasti dan makluman akan disampaikan dari semasa ke semasa.
“Ini masih lagi di peringkat awal tetapi di minggu kedua ini saya melihat pengunjung sedia maklum di mana mereka hendak parkir kenderaan.
“Sebenarnya terdapat beberapa kawasan lagi boleh digunakan untuk parkir kenderaan contohnya di Dataran Pahlawan dan di hotel-hotel berhampiran.
“Perkara ini akan dimaklumkan kemudian dan berkemungkinan kita akan meletakkan papan tanda pemberitahuan di kawasan tempat letak kereta ini, katanya.
Minggu lalu, MHI melaporkan sebuah pertemuan dan sesi dialog bersama peniaga dan pihak yang terlibat sudah diadakan bertujuan mendapatkan maklum balas mengenai inisiatif zon bebas kenderaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.