SANTAI @ KLEBANG ZON BEBAS KENDERAAN FASA 2
AYER KEROH 24 November – Zon Bebas Kenderaan Fasa 2 bakal dilaksanakan di Santai @ Klebang dalam masa terdekat, sekali gus menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi setempat khusus membabitkan peniaga kecil sekitar.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata pelaksanaan itu termasuk menambah baik aspek pencahayaan dan menyusun semula peniaga.
“Kita sedang memikirkan untuk menjadikan satu lagi kawasan Zon Bebas Kenderaan di Klebang yang kita akan namakan sebagai Santai @ Klebang. Sekarang kalau kita lihat Klebang keadaannya kurang selesa, kedudukan peniaga tidak tersusun, pencahayaan pula kurang menarik.
“Saya sudah membuat lawatan bersama beberapa agensi terlibat, kita akan laksanakan pembaharuan di kawasan ini dan dalam masa terdekat kita akan wujudkan satu lagi lokasi santai menghadap pantai,” katanya dalam Podcast Mana Lagi? Melaka Ler! di Studio Melaka TV.
Katanya konsep baharu Zon Bebas Kenderaan di Klebang itu juga bertujuan memastikan tiada lagi kenderaan keluar dan masuk di kawasan perniagaan.
“Matlamat kita adalah supaya pengunjung datang di Klebang boleh bersiar-siar di kawasan itu dengan bebas bersama keluarga, baru-baru ini kita rekodkan hari biasa sahaja lebih 1,000 pengunjung yang singgah.
“Kalau hujung minggu lebih 8,000 pengunjung berada di kawasan ini, bagaimanapun kita perlu buat kajian dan mendapatkan persetujuan dalam mesyuarat jawatankuasa lalu lintas.
“Selepas mendapat kelulusan kita akan cuba melaksanakan satu lagi kawasan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung untuk bersiar dalam suasana lebih selamat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.