Santai di ‘warung konkrit’ tepi pantai

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

KUALA LINGGI 21 Julai – Pantai di Kuala Sungai Baru, di sini kini memiliki satu lagi destinasi mampu menarik kehadiran lebih ramai pelancong apabila sebuah warung konkrit dimajukan anak jati Kampung Hilir Pantai.

Mohd Awalluddin Ruzali, 38, bertindak berani membuat pelaburan agak besar bagi memanfaatkan tanah milik ibunya, Noriah Husin, 76, untuk dimajukan sebagai warung konkrit manakala tempat hidangan makanan dan minuman di bawah pohon rendang.

Langkah berani Mohd Awalluddin berjaya menarik kehadiran pelanggan yang gemar menikmati pemandangan indah di pantai, terutama ketika matahari terbenam di ufuk barat.

Dia yang juga merupakan seorang chef bersama isteri Azwani Abdul Latif, 38, mengambil keputusan menamatkan perniagaan di sebuah kafe di Balik Pulau, Pulau Pinang pada November lalu sebelum pulang ke kampung halamannya dan mengusahakan warung berkenaan.

“Saya ingin menjaga ibu selepas arwah ayah, Ruzali Abu Bakar pergi buat selama-lamanya pada Julai tahun lalu.

“Saya lihat setiap petang ramai pengunjung pantai mandi-manda dan berkelah di pantai berhampian rumah ibu, lalu saya mengambil keputusan membina warung makan berkonsepkan tempat hidangan di bawah pokok rimbun,” ketika ditemui di warungnya hari ini.

Mohd Awalluddin dan Azwani menyediakan makanan dipesan pelanggan di warung konkrit di Kampung Hilir Pantai, Kuala Sungai Baru.

Dia berkata, dengan memanfaatkan ilmu penyediaan makanan dan minuman yang ditimba di sebuah institusi pengajian tinggi swasta, dia dan isteri memilih untuk menyediakan makanan barat, selain roti john dan nasi lemak.

Katanya, dengan pelaburan agak besar, dia memulakan perniagaan itu pada Februari lalu bagi merebut pasaran daripada pengunjung pantai, terutama mereka yang berkelah di kawasan agak terpencil di kampung itu berbanding pantai peranginan popular seperti pantai Pengkalan Balak dan Padang Kemunting, kira-kira enam kilometer dari Kuala Sungai Baru.

“Alhamdulillah, ibu merestui usaha saya dan ceria menyaksikan jumlah kehadiran orang ramai semakin meningkat di sini,” katanya.

Sementara itu, pelanggan, Nordin Abu Hassan, 62, berkata dia dan isteri, Hadzilah Abu Bakar, 61, serta rakan, Noor Azilah Mohamad, 45, hadir di pantai itu semata-mata untuk menikmati pemandangan indah matahari terbenam sambil menjamu selera.

BERSANTAI menghirup bayu laut di Kampung Hilir Pantai.

“Saya cadangkan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) memajukan pantai ini dengan menyediakan lebih banyak wakaf untuk pengunjung beristirahat sambil berkelah bersama-sama keluarga selain boleh juga membuka gerai kraftangan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2564
Kongsi :
Previous post Ibu didakwa bunuh anak perempuan berusia 11 tahun
Next post Agenda kesejahteraan rakyat, pembaharuan ekonomi fokus Bajet 2023 – Tengku Zafrul
Ubah saiz-+=