Sanitasi udara inisiatif cegah COVID-19
KLEBANG 10 Feb. – Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Klebang mengambil inisiatif untuk melaksanakan program Sanitasi Penyemburan Udara di beberapa perumahan serta jalan awam sekitar kawasan ini.
Pengerusi Penyelaras JAPERUN Klebang, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, program itu pertama kali diadakan di negeri ini sebagai usaha untuk membantu kerajaan dalam mencegah penularan COVID-19 di peringkat komuniti.
“Kita sedar kerajaan tiada kemampuan untuk melakukan sanitasi secara meluas di seluruh negara. Sebab itulah kita tampil dengan inisiatif ini untuk manfaat rakyat, khususnya di kawasan DUN Klebang.
“Saya harap usaha ini bukan sahaja dilakukan di Klebang dan menyeru pimpinan masyarakat dan pihak swasta di negeri ini melakukan perkara sama bagi membantu negara melawan pandemik COVID-19,” katanya kepada media selepas merasmikan program Sanitasi Penyemburan Udara di RUTC JPKK Klebang Besar, hari ini.
Hadir sama Pengarah SWCorp Melaka, Khairul Adha Mutalib dan Pengerusi Pertubuhan Pembela Klebang Besar Datuk Mohd Yusof Abu Hassan merangkap penyelaras program.
Mohamad Ali berkata, program itu mendapat kerjasama SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) dan SW Corp yang menyediakan dua buah lori dan kelengkapan semburan udara.
Katanya, setiap lori menyediakan 3,000 liter cecair pembasmi kuman dan telah digerakkan untuk melakukan semburan di sekitar Pulau Gadong, Klebang dan Batang Tiga.