Sanggup tidur depan kedai untuk beli kasut sukan
BANDA HILIR 28 Mac – “Saya sanggup tunggu dari jam 1 pagi dan bermalam di depan kedai semata-mata untuk mendapatkan kasut kegemaran edisi terhad ini,” kata Khairul azizi Samsudin 27 ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di Hoops Station hari ini.
Menurut Khairul, memandangkan dia penggemar dan mengumpul koleksi kasut sukan Bola Keranjang itu, tidak hairanlah untuk menunggu lama mendapatkan rekaan kasut yang terhad di kedai itu.
“Saya dari 1 pagi tadi sudah tunggu dan bermalam dekat sini, masa itu ada kira-kira 40 orang yang turut menunggu.
“Kedai ini yang pertama di Melaka, sebelum ini tiada. Jadi saya ambil kesempatan untuk beli kasut yang saya minat,” katanya.
Katanya, kedai tersebut sebelum ini hanya ada di Kuala Lumpur dan apabila ia dibuka di Melaka, ramai pelanggan tidak melepaskan peluang.
“Kalau di luar terutama di Kuala Lumpur memang ada, tapi sekarang tak boleh rentas negeri sebab tu saya berusaha dapatkan juga kasut ini.
“Ini memang dinantikan, kasut saya ada yang edisi terhad jadi kalau dapat beli sangat puas hati,” katanya yang membeli tiga pasang kasut.
Tay Wei Yang, 20, pula berkata dia juga sanggup menunggu di luar kedai Hoops Station dari jam 12 tengah malam untuk membeli kasut.
“Saya sanggu tunggu dengan sembilan orang kawan jam 12 tengah malam tadi, ini memang saat ditunggu sebab kedai ini pertama kali ade di sini.
“Lagipun saya dan rakan-rakan memang peminat kasut jenama Nike Air Jordan, jadi peluang ini perlu direbut.
“Sekitar jam 10.30 pagi saya dapat masuk kedai, masa itu pun saya dapat nombor giliran yang ke 23,” katanya dengan nada gembira.
Sementara itu, pemilik Hoops Station Teo Poh Chye berkata, pihaknya menyasarkan pemain yang gemar sukan bola keranjang akan membanjiri kedai itu.
“Bila adanya kedai seperti ini secara tidak langsung dapat menarik anak muda yang sukakan sukan bola keranjang untuk ketengah bakat mereka.
“Pembukaan ini kita jangka 1,000 pelanggan akan datang, ada rekaan kasut yang dijual terhad dan harga paling tinggi antara RM600 hingga RM800 sepasang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.