Sanggup pulang ke Melaka setiap minggu pastikan TMM2024 meriah

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

BANDA HILIR 10 Disember – Komitmen untuk bersama-sama menjayakan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) mendorong gadis untuk pulang ke Melaka setiap minggu bagi menyertai pelbagai aktiviti promosi yang dianjurkan.

Pelajar tahun akhir Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor Fatin Nur Izzati Azman, 22, berkata, menjayakan TMM2024 kini menjadi sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai anak jati Negeri Melaka.

Fatin Nur Izzati berkata, sebagai sukarelawan duta pelancongan (Volunteer Melaka) apa yang dilakukan adalah satu bentuk sumbangan kepada Negeri Melaka, selain pada masa sama dia dapat menimba pengalaman baharu dengan berinteraksi bersama pelancong.

Anak kelahiran Klebang ini berkata, selain itu dia juga mahu menggunakan peluang yang ada untuk menambah kenalan baharu.

“Saya jadi ‘Volunteer Melaka’ ini sebab berbangga dengan negeri sendiri dan memang rasa tergerak hati untuk sertainya, malah sebelum ini memang banyak kali menyertai pelbagai misi sukarelawan.

“Jadi saya harap sebagai antara salah seorang sukarelawan saya akan pastikan perkhidmatan terbaik untuk pelancong dan membantu mereka menggunakan kemudahan yang Melaka sudah sediakan yang mana negeri lain tidak ada.

“Sebagai pelajar tahun akhir, tahun hadapan saya akan bahagikan masa sewajarnya dan kebiasannya banyak program akan dianjurkan pada hujung minggu. Harap semuanya berjalan lancar kerana tidak ada kuliah paa hujung minggu,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Photo 6316681829444336071 Y
NUR NABILAH

Sementara itu, seorang lagi sukarelawan, Nur Nabilah Faizal, 25 bersemangat untuk menawarkan perhidmatan terbaik buat pelancong sempena TMM2024.

Graduan jurusan pelancongan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini berkata, ‘Volunteer Melaka’ perlu disertai oleh anak muda negeri ini bagi memudahkan pelancong mengetahui keunikan Melaka.

Katanya, dia memilih menjadi sukarelawan itu bagi mengisi masa lapangnya dan mahu menambahkan lagi pengalaman dalam bidang pelancongan seperti yang dipelajarinya.

“Alhamdulillah saya sudah bersedia sepenuhnya untuk menjadi pasukan barisan hadapan dalam industri pelancongan Melaka.

“Saya tidak mahu buang masa, selepas sahaja selesai konvokesyen yang lalu saya terus mengaktifkan diri menjadi ‘Volunteer Melaka’.

“Setakat ini kesemua peserta telah didedahkan dengan kursus pelancongan dan pada 16 Disember depan kami akan memasuki kursus siri kedua pula untuk persediaan TMM2024,” katanya.

Terdahulu, MHI melaporkan, Kerajaan Negeri menerima sebanyak 1,089 permohonan bagi penyertaan sukarelawan duta pelancongan atau ‘Volunteer Melaka’ sempena TMM2024.

Program terbabit masih lagi dibuka kepada mana-mana sukarelawan di mana setakat ini hanya 300 sukarelawan yang lulus selepas saringan dilaksanakan dan selebihnya masih dalam proses untuk dilantik menjadi duta itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4224
Kongsi :
Previous post Acara sukan dan rekreasi warnai TMM2024
Next post Pemandu jengkaut warga Indonesia maut ditimpa kayu balak
Ubah saiz-+=