Sanggup datang tiga kali demi lihat aset klasik Diraja Johor
AYER KEROH 16 Jun – Pameran Kenderaan Automotif Klasik Diraja Johor yang diadakan bersempena Malaysia Bike Week Melaka 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung.
Mana tidaknya, pameran khas yang dibuka secara percuma bermula 14 Jun itu menarik kehadiran ribuan pengunjung.
Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati, pengunjung yang datang bukan sahaja dari kalangan rakyat Melaka, bahkan turut menggamit pelancong dari luar Melaka semata-mata mahu menyaksikan kenderaan klasik yang mempunyai nilai dan sejarah cukup tinggi itu secara lebih dekat.
Seorang pengunjung Shafie Bujang, 41 berkata, pameran khas itu merupakan peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan sehingga dia sanggup datang tiga kali bersama keluarga untuk melihat secara lebih dekat kenderaan yang jarang dilihat di jalan raya.
“Bagi saya, semua aset yang dipamerkan sungguh menarik kerana saya memang meminati benda-benda berenjin dan semua ini menjadi satu tarikan yang tidak boleh dilepaskan.
“Kebiasaannya aset-aset klasik ini hanya dapat dilihat jika ada program khas seperti Kembara Mahkota Johor. Jadi, bila dapat peluang keemasan seperti ini memang saya tidak akan lepaskan dengan mengambil foto secara lebih dekat,” katanya yang kini menetap di Batu Berendam.
Seorang pengunjung dari Tanjung Malim, Perak, Safuan Samsudin, 36, pula mengakui teruja dan berpuas hati kerana dapat mengabadikan kenangan bersama kenderaan-kenderaan klasik yang dipamerkan itu.
“Antara yang menarik perhatian saya ialah dua buah kereta Proton Saga model pertama yang dipamerkan kerana ia merupakan kereta yang tidak pernah diubah suai dan masih dijaga dengan baik seolah-olah kereta baharu.
“Bagi saya pameran istimewa ini membuktikan Melaka merupakan sebuah destinasi pelancongan yang berjaya menarik perhatian pelancong menerusi pelbagai acara dan tarikan yang disediakan,” katanya.
Sementara itu, seorang anak muda, Muhammad Ameer Haziq Mohd Zahid, 24, berharap pameran seumpamanya dapat diadakan lagi dalam skala lebih besar dalam menarik kehadiran peminat kereta-kereta klasik sepertinya.
“Paling seronok kerana saya dapat melihat koleksi trak dimiliki keluarga Diraja Johor kerana ia jarang ada di Malaysia.
“Terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana memberi perkenan untuk pameran kenderaan klasik ini dan memberi peluang kepada peminat seperti saya untuk ‘cuci mata’,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.