Sampai hati ‘perdaya’ warga emas

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

ALOR GAJAH 2 Okt. – Wanita warga emas kerugian kira- kira RM7, 000 selepas sejumlah wang tunai dan barang kemas miliknya dilarikan individu tidak dikenali dalam kejadian di Sungai Ragok, Air Paabas.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 12 tengah hari pada Rabu apabila warga itu didatangi lelaki dan wanita.

Ketua Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa berusia 83 tahun yang tinggal bersama suaminya berusia 82 tahun didatangi suspek yang menaiki motosikal dan ingin menyampaikan bantuan makanan.

“Ketika mangsa bersama suami sedang mengisi borang diberanda rumah, suspek lelaki meminta izin untuk ke tandas dan pasangan warga emas itu tidak mengesyaki apa-apa.

“Selepas itu suspek berdua memberikan sumbangan seperti beras , tepung gandum, gula, bihun dan biskut kepada mangsa sebelum beredar,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun pada keesokan harinya kira-kira jam 11 pagi mangsa yang ingin mengambil duit menyedari wangnya berjumlah RM950 tiada didalam beg.

“Warga emas itu kemudian memeriksa barang kemas miliknya sebelum mendapati seutas rantai, sebentuk loket, tiga bentuk cincin dan seutas gelang emas hilang dipercayai dicuri.

“Anggaran kerugian wang tunai termasuk barangan kemas dianggarkan kira- kira RM7,000,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan pihaknya menasihati orang ramai agar berhati- hati dan jangan mudah mempercayai orang yang tidak dikenali.

Views:

342
Kongsi :
Previous post COVID-19: Jabatan Kesihatan Melaka kesan kontak rapat ADUN Ayer Limau
Next post ‘Centralized big data’ peroleh maklumat benar – BTMK
Ubah saiz-+=