Sorting by

×

‘Sampah jadi duit’

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

KUALA SUNGAI BARU 5 April. – Pertukaran sampah kepada wang menerusi program ‘Trash To Cash SWCorp’ dan KITARecycle yang diperkenalkan mampu menarik minat masyarakat terhadap amalan kitar semula dalam sesebuah komuniti.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Wira Ar. Ismail Othman berkata, inisiatif itu sekali gus mampu mengurangkan beban pusat pelupusan sampah di negeri ini yang berdepan dengan isu pembuangan sisa pepejal.

Katanya, menerusi hasrat itu penubuhan Kelab Kitar Semula Kawasan Rukun Tetangga (KRT) turut diwujudkan pertama kali di negeri ini dengan pembabitkan 249 KRT.

ISMAIL (kanan) melihat sampah yang dikumpulkan anggota komuniti dan diasingkan mengikut jenis.

“Dengan konsep pertukaran sampah kepada duit ini ia akan menggalakkan komuniti melakukan kitar semula bagi menambah sumber pendapatan.

“Secara tidak langsung inisiatif ini dapat membudayakan amalan kitar semula di setiap peringkat golongan masyarakat,” katanya ditemui Melaka Hari Ini selepas merasmikan Majlis Pelancaran Penubuhan Kelab Kitar Semula Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Kompleks Japerun Kuala Linggi, di sini.

Hadir sama, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khairuladha Abd. Mutalib dan Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn. Bhd, Norlisam Mohd Nordin.

Sementara itu Khairuladha berkata, pendekatan program itu dengan mengajak penduduk bekerjasama dengan KRT terlibat bagi mengumpul sampah yang akan ditukarkan dengan wang, sekali gus memberi pendapatan tambahan buat mereka.

Katanya, setiap sampah yang dikumpulkan kemudiannya diasingkan mengikut tiga kategori sampah iaitu plastik, kertas dan lain-lain seterusnya akan dinilai mengikut kadar nilai jualan tempatan.

“Seterusnya apabila ditimbang kita akan menilai berapa jumlah sampah yang dikumpulkan dan kemudiannya sampah itu akan dihantar oleh pengurusan SWM untuk dikitar semula di lokasi yang ditetapkan.

“Alhamdulillah sambutan begitu menggalakkan dalam usaha mencapai misi amalan kitar semula dalam kalangan penduduk setempat.

“Kita akan mengembangkan program seperti ini dengan lebih meluas di Melaka membabitkan penyertaan semua peringkat masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

901
Kongsi :
Previous post Buffet Ramadan ala kampung, persembahan kebudayaan di MMACP
Next post Pertandingan komuniti zon hijau COVID-19, KPLB tawar hadiah geran pembangunan RM50,000
Ubah saiz-+=