Sorting by

×

Sambutan ulang tahun ke-100 nenek Wa di hotel 

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 26 Mei – Tanggal 29 Jun ini genaplah usia 100 tahun Sapiah Hassan, atau mesra dengan panggilan Wa dalam kalangan lima anak, 24 cucu dan 21 cicitnya.

Sapiah dilahirkan pada 29 Jun 1924, ketika ditemui meluahkan rasa syukur kerana meskipun sudah menginjak usia satu abad dia masih dikurniakan tubuh badan yang sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit kronik.

Anak sulung daripada empat beradik ini berkata, dia tidak mempunyai sebarang amalan pemakanan istimewa, sebaliknya sebagai seorang Muslim, Sapiah menjaga solat lima waktu dan menggunakan kesempatan selepas selesai menunaikan ibadah itu untuk berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan kesihatan yang baik.

“Alhamdulillah, apabila badan sihat saya boleh beribadat dalam keadaan yang tenang dan selesa. Saya tidak ada pantang dalam pemakanan cuma tidak ambil ayam kerana sejak dahulu lagi tidak gemar lauk itu.

“Kalau pada hujung minggu pula saya banyak habiskan masa menonton televisyen,” katanya ketika ditemui Majlis Kesyukuran dan Jalinan Ukhwah Ulang Tahun Kelahirannya ke-100 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Img 20240526 181848 131
KEK sambutan ulang tahun kelahiran ke-100 disediakan untuk Sapiah,

Suri rumah berasal dari Kampung Sebatu, Merlimau ini berkata, arwah suaminya bekerja sebagai penoreh getah meninggal dunia pada 1 Disember 1980 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tujuh orang anak.

Namun dua anak termasuk yang paling tua sudah meninggal dunia dan dia kini dijaga oleh cucu dan cicitnya.

“Meriah sungguh sambutan diatur, sempena 100 tahun keluarga pilih untuk raikan di hotel kerana mereka anggap ini istimewa.

“Terima kasih kepada ahli keluarga yang menganjurkan majlis hari lahir, apa yang saya harap adalah tubuh badan sentiasa sihat dan tidak menyusahkan anak-anak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

735
Kongsi :
Previous post Bila Larut Malam : Kaunter tiket Zoo Melaka dibuka jam 5 petang
Next post Tersedut asap punca kematian tiga beranak
Ubah saiz-+=