SAMBUTAN PESTA PONGGAL PERPADUAN GAMIT LEBIH 600 PESERTA
BANDA HILIR 30 Januari – Lebih 600 peserta terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum hadir bagi bersama-sama memeriahkan Majlis Sambutan Pesta Ponggal Perpaduan yang diadakan di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di sini baru-baru ini.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam berkata sambutan Ponggal terbabit merupakan acara kebudayaan masyarakat beragama Hindu namun ia diraikan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
Katanya, sambutan itu sebagai tanda mengucapkan syukur atas hasil tuaian padi yang melimpah ruah dan memohon kemakmuran.
“Sambutan Ponggal di Negeri Melaka diadakan di dua lokasi iaitu Banda Hilir dan Jasin. Majlis di Banda Hilir kita raikan dengan begitu meriah dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan memasak Ponggal, pertandingan membuat kuih tradisional, pertandingan mencipta Kolam, pertandingan mewarna dan pelbagai lagi yang melibatkan 600 penyertaan.
“Sambutan ini turut diserikan dengan penyertaan pelbagai kaum, mencerminkan semangat perpaduan yang kukuh di Negeri Melaka,”katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Shanmugam turut menzahirkan harapan agar petani dikurniakan hasil tuaian melimpah rumah selain memperoleh pelbagai kejayaan dan kecemerlangan.
“Saya berharap kita dapat meraikan lebih banyak sambutan kebudayaan pelbagai masyarakat dalam suasana yang tenang dan baik.
“Sambutan penuh warna-warni ini merupakan anjuran Majlis Kelab Bell Belia Tamil Negeri Melaka dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, MIC Negeri Melaka dan Siswa India Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.