Sambutan meriah Hari Bomba 2022 di Kepala Batas Ahad ini
KUALA LUMPUR, 17 Mei – Sambutan Hari Bomba 2022 di Kepala Batas, Pulau Pinang hujung minggu ini akan dimeriahkan dengan perarakan jentera bomba, perbarisan anggota daripada kontinjen-kontinjen negeri selain penyertaan daripada bomba lapangan terbang, bomba pelabuhan, bomba tentera dan petugas barisan hadapan.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata objektif sambutan itu ialah untuk menghargai penat lelah, pengorbanan dan jasa bakti setiap anggota bomba yang menggadai nyawa untuk menjaga keselamatan rakyat.
Katanya bertepatan dengan tema ‘Bomba Frontliner Keluarga Malaysia’, sambutan pada hari Ahad ini juga akan menyaksikan JBPM memberikan penghargaan kepada beberapa anggotanya yang gugur semasa menjalankan tugasan.
“Antara program yang akan dilaksanakan pada hari berkenaan ialah program berbentuk keagamaan, pameran keselamatan kebakaran dan keselamatan di air, selain penjualan alat pemadam kebakaran dan alat pengesan asap,” katanya dalam program bual bicara Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3 yang disiarkan secara langsung hari ini.
Beliau berkata sambutan Hari Bomba 2022 dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sambutan Hari Bomba sebenarnya diraikan pada 4 Mei setiap tahun, namun oleh kerana pada tahun ini tarikh berkenaan jatuh pada 3 Syawal, majlis sambutan itu ditangguhkan ke Ahad ini.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.