
SAMBUTAN MERIAH BAZAR AIDILFITRI MELAKA PETANDA EKONOMI BAIK
KLEBANG 17 Mac – Kehadiran ribuan pengunjung ke bazar Aidilfitri utama di negeri ini menunjukkan keadaan ekonomi rakyat Melaka berada dalam keadaan yang baik.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata ia berikutan tinjauannya ke semua bazar Aidilfitri di negeri ini.
Katanya, di Melaka terdapat tiga bazar Aidilfitri utama iaitu Bazar Ikonik Banda Hilir; Glam Raya Klebang dan MITC (Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka) Ayer Keroh.
“Dua daripada bazar Aidilfitri ini berada di tangga keempat dan ketujuh dalam senarai bazar Aidilfitri terbaik dalam Malaysia.
“Boleh dikatakan puluhan ribu pengunjung telah hadir ke kesemua bazar Aidilfitri ini sejak dibuka. Ia menandakan ekonomi rakyat Negeri Melaka berada dalam keadaan yang baik.
“Syabas dan tahniah tentunya kepada Majlis Bandar Raya Melaka Bersejarah (MBMB) yang diuruskan oleh Datuk Shadan Othman dan penganjur kerana berjaya mengadakan dua buah bazar pada tahun ini dan kedua-duanya masuk dalam senarai bazar terbaik negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Pelancaran Bazar Glam Raya Klebang yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sini malam tadi.
Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) paya Rumput berkata, kemeriahan penganjuran bazar di Melaka sepanjang Ramadan diharap dapat diteruskan dan ditambah baik pada tahun-tahun mendatang.
Jelasnya, ia memandangkan kemeriahan sambutan tersebut bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk tempatan, bahkan berupaya menggamit kehadiran pengunjung dan pelancong.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.