Sambutan Merdeka Melaka bawa konsep bijaksana, berani

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Konsep Sambutan Hari Kebangsaan Negeri Melaka pada tahun ini masih lagi mengekalkan elemen Kebijaksanaan Tuah dan Keberanian Jebat.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad berkata, konsep itu selari dengan slogan ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ yang sentiasa meniti di bibir setiap rakyat Melaka.

Jelas beliau, konsep itu diperkukuhkan lagi dengan mengadaptasi keindahan bumi bertuah Melaka dengan kehebatan pahlawan-pahlawan terbilang di zaman Kesultanan Melayu Melaka yang tidak pernah lelah dalam mengharungi segala cabaran dan halangan dalam memburu kejayaan.

“Tema Sambutan Hari Kebangsaan Negeri Melaka sama seperti di Peringkat Kebangsaan iaitu ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’. Tema ini menginterpretasikan semangat patriotik meliputi aspek pemikiran yang digabung jalin dengan integrasi sosial dan ekonomi telah membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif.

“Bersesuaian dengan konsep dan tema ini pelbagai acara menarik diatur. Apa yang pasti sedikit sebanyak menawarkan kelainan berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya semasa Wawancara Khas Bersama Melaka Hari Ini di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, pada Jumaat.

Azhar berkata, acara diatur bagi memeriahkan sambutan juga akan mengetengahkan semangat kemerdekaan dan keunikan serta kekayaan seni budaya Negeri Melaka.

Sementara itu berkongsi mengenai persembahan diatur, Azhar berkata sambutan tahun ini dimeriahkan lagi dengan lintas hormat helikopter milik Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Selain persembahan padang, perarakan kontinjen dan pertunjukan udara, sambutan ini turut diserikan dengan perarakan bot serta jet ski di Sungai Melaka.

“Banyak lagi kelainan persembahan akan dibawa pada sambutan kali ini. Justeru, saya menjemput orang ramai datang ke sambutan ini untuk menyaksikan lebih dekat setiap acara dipersembahkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1047
Kongsi :
Previous post Emas ke-18 Melaka dari gelanggang badminton
Next post Senyuman Tun Dr. Mohd Ali beri aura positif
Ubah saiz-+=