Sambutan luar biasa rangsang hasil filem lebih baik
Industri perfileman negara semakin menunjukkan perkembangan positif apabila satu demi satu naskah tempatan terus mendapat kutipan pecah panggung sekali gus mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat filem itu sendiri.
Keadaan itu sekali gus terus membakar semangat penggiat seni kreatif tanah air untuk menghasilkan karya yang lebih baik pada masa akan datang.
Terbaharu, fenomena filem sekuel Polis Evo 3 mendapat kutipan melebihi RM45 juta selepas lebih dua minggu ditayangkan di pawagam meksipun terpaksa bersaing dengan filem antarabangsa seperti Transformers: Rise of the Beasts, Fast X dan Guardians Of The Galaxy Vol.3.
Menurut Produser Polis Evo 3, Joel Soh berkata, sambutan sekuel filem ketiga itu agak luar biasa berbanding Polis Evo 1 dan 2 malah tidak menjangka melebihi sasaran kutipan peribadinya.
“Ia adalah jauh lebih daripada apa yang kami jangkakan dengan cara yang sangat baik dan kita harapkan lebih ramai memberi sokongan supaya kita dapat menghasilkan filem yang lebih baik pada masa depan.
“Dengan jumlah kutipan yang agak tinggi menunjukkan betapa besarnya sokongan khalayak tempatan, ini adalah berita yang cukup membanggakan dan saya rasa sudah lama kita tidak nampak keadaan begini (menjadi fenomena),” katanya ketika ditemui pada jelajah filem berkenaan di sebuah pasar raya di sini.
Perkara itu juga turut diakui pelakon utama filem berkenaan, Shaheizy Sam yang terharu dengan sambutan itu dan perkara itu bukan mudah filem tempatan bersaing dengan filem antarabangsa yang ditayangkan serentak dengan filem itu.
“Kita ada banyak filem luar negara yang masuk pada masa yang sama tetapi penonton tanah air masih lagi menerima dan menonton filem tempatan. Insya-Allah setiap pembikin filem tempatan sentiasa akan memperbaiki dan memperhebatkan karya supaay terus diterima.
Dalam pada itu, Sharnaaz Ahmad berterima kasih dengan peminat yang terus memberi kepercayaan kepada penggiat seni untuk memberi sokongan padu kepada industri filem tempatan.
Katanya bagi mengekalkan kepercayaan penonton, penggiat industri akan terus mengekalkan kepercayaan penonton dengan memberikan naskah terbaik.
“Sebenarnya bukan sahaja Polis Evo, malah banyak lagi filem tempatan yang sudah bangkit dan maju ke hadapan, cuma apa yang diharapkan supaya peminat terus datang menyokong.
“Kita faham selama ini kadang-kadang kita ‘sampah’ dan pelabur sendiri tidak berani untuk mengeluarkan dana disebabkan takut untuk rugi tetapi kalau sebegini punya sambutan, we can do better and better (kita boleh buat lebih baik dan lebih baik),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.