Sambutan Hari Wanita 2020 dirai semasa PRN Johor
JOHOR BAHRU, 8 Mac – Dalam kesibukan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sambutan Hari Wanita 2022 yang diraikan masyarakat sejagat hari ini mencuri sedikit tumpuan pemimpin serta calon khususnya calon wanita untuk menzahirkan penghargaan kepada kaum hawa.
Pemimpin dan calon yang sedang berusaha meraih sokongan dalam kempen pilihan raya, yang memasuki hari ke-11 hari ini, mengambil peluang dan kesempatan untuk merakamkan ucapan dan menghadiahkan bunga, menzahirkan rasa kasih dan sayang buat seluruh wanita.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin ketika melawat Pusat Operasi PRN Johor Bernama dan Pusat Media Kementerian Komunikasi Multimedia di Grand Paragon Hotel bersama isterinya Datin Nooraine Ahmad, mengambil kesempatan menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua wanita.
“Sama-sama kita jayakan agenda Saksama Bersama untuk semua wanita di seluruh dunia. Terima kasih atas segalanya… Selamat Hari Wanita 2022,” katanya.
Di timur negeri Johor, sambutan Hari Wanita di Mersing jelas memberi kenangan manis kepada wartawan Bernama Siti Baaqiah Mamat apabila calon Perikatan Nasional (PN) Alwiyah Talib bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau menghadiahkan sekuntum mawar merah kepada beliau.
“Terasa diri ini dihargai sebagai wanita. Sambutan Hari Wanita ini menampakkan peranan wanita dihargai dalam sama-sama bekerja keras membangunkan ekonomi, keluarga dan masyarakat setempat.
“Ayah saya juga sempat beri ucapan kepada saya hari ini. Tadi masa (calon) bagi bunga kepada saya, ramai lelaki juga mengucapkan Selamat Hari Wanita kepada saya,” kata Siti Baaqiah.
Alwiyah turut merakamkan penghargaan dan memberikan bunga kepada wanita yang ditemui semasa sambutan Hari Keluarga Pertubuhan Kami Anak Felda di Taman Selesa, Felda Endau hari ini.
Alwiyah adalah antara 37 calon wanita daripada keseluruhan 239 calon yang menawarkan diri pada PRN Johor. Barisan Nasional menampilkan 14 calon wanita, Pakatan Harapan (lapan), PN (enam), Parti Pejuang Tanah Air (empat) manakala Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dua calon wanita.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengangkat ‘Saksama Bersama’ sebagai tema sambutan Hari Wanita 2022.
Tema itu dipilih untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman seluruh lapisan masyarakat terhadap kepentingan mencapai kesaksamaan bersama bagi memastikan potensi wanita dapat dioptimumkan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.