
SAMBUTAN HARI TVET NEGARA PADA 11 HINGGA 13 JUN DI MELAKA
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata ia bakal menghimpunkan penyertaan daripada semua kementerian dan agensi berkaitan TVET serta pemain industri, sekali gus mencerminkan sinergi dan kebersamaan dalam merealisasikan agenda pemerkasaan TVET secara menyeluruh.
Ahmad Zahid berkata bersempena dengan sambutan Hari TVET Negara 2025, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 akan turut menganjurkan Dialog Polisi Serantau Majlis TVET ASEAN (ATC) pada 11 hingga 13 Jun 2025 di Kuala Lumpur.
“Penganjuran dialog serantau ini merupakan manifestasi komitmen Malaysia dalam memacu kerjasama serantau ke arah pembangunan modal insan berkemahiran serta memperkukuh jaringan antara negara anggota ASEAN dalam bidang TVET,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) Bil. 1/2025 di Putrajaya hari ini, yang antara lain membincangkan pelbagai agenda strategik ke arah memperkukuh landskap TVET negara termasuk isu ketersediaan bakat tempatan.
“Beberapa kertas pemakluman telah dibentangkan termasuk inisiatif pembangunan teknousahawan TVET, status pelaksanaan Data Raya TVET, pelaksanaan penarafan tunggal program TVET dan dapatan penilaian akreditasi Program Diploma Vokasional Malaysia,” katanya.
Ahmad Zahid dalam pada itu menegaskan agenda pembangunan bakat berkemahiran melalui TVET merupakan tanggungjawab bersama, justeru kerjasama bersepadu antara semua pihak termasuk kementerian, agensi, industri dan masyarakat adalah penting, bagi memastikan TVET kekal relevan dan menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi negara. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.