Sorting by

×

Sambutan Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Melaka 9-11 Ogos

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 30 Julai – Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) Peringkat Negeri Melaka 2024 akan diadakan di Perkarangan Pasaraya MYDIN Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini pada 9 hingga 11 Ogos depan.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri, Mustafa Kamal Mohd Nor berkata sambutan HKN itu merupakan penganjuran bersama gerakan (ahli berdaftar) koperasi Negeri Melaka.

Katanya, objektif utama penganjuran HKN itu adalah untuk memberi pengiktirafan kepada gerakan koperasi terhadap sumbangan dan peranan koperasi dalam pembangunan ekonomi.

“Lebih 50 reruai gerakan Koperasi Melaka akan mempamer produk mereka disamping pelbagai aktiviti dan program dilaksanakan sepanjang sambutan yang berlangsung tiga hari itu.

“Lebih menarik lagi, sepanjang tiga hari itu juga kita adakan Jualan Madani Koperasi dan Usahawan (JMKU) membabitkan dua koperasi dan Jualan Rahmah yang menawarkan diskaun sehingga 30 peratus penjualan barang-barang asas kepada pengunjung.

“Antara aktivti lain yang bakal diadakan adalah Forum Perdana; Coop Walk; Cabutan Bertuah dan pelbagai lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Mustafa Kamal berkata sambutan itu akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada 10 ogos depan.

“Kita juga mengambil kesempatan menyampaikan Anugerah Koperasi Harapan Negeri Melaka Tahun 2023 beserta enam replika cek bantuan dan sumbangan pada hari perasmian itu.

“Kita juga menyasarkan lebih 3,000 kehadiran pengunjung pada sambutan HKN itu nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

375
Kongsi :
Previous post Talian Kasih 15999 bantu kanak-kanak
Next post Shayna Marianne ‘intai’ emas di SUKMA
Ubah saiz-+=