Sambutan Hari Kebangsaan 2021 penuh patriotisme dalam semangat Keluarga Malaysia
PUTRAJAYA 31 Ogos – Disambut dalam persekitaran norma baharu ekoran pandemik COVID-19 buat tahun kedua, sambutan Hari Kebangsaan 2021 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya tetap menyerlahkan jiwa patriotisme yang jitu dalam semangat Keluarga Malaysia.
Atur cara dan persembahan yang sarat dengan elemen patriotisme disusun rapi agar bersesuaian dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta boleh ditonton secara fizikal oleh hadirin yang terhad atau diikuti secara langsung melalui kaca televisyen atau secara maya.
Dengan ketibaan tetamu di Dataran Pahlawan Negara termasuk menteri-menteri Kabinet berlatar belakangkan pelbagai lagu patrotik, klip video Keluarga Malaysia yang menampilkan lirik ciptaan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa turut ditayangkan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyertai sambutan tersebut yang bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ secara maya kerana menjalani kuarantin kendiri bermula semalam (30 Ogos) setelah disahkan kontak rapat pesakit COVID-19.
Atur cara bermula pukul 8 pagi dalam cuaca baik dengan matahari yang menyinar setelah hujan dinihari berhenti di Putrajaya kira-kira 7 pagi, dengan tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menaikkan Jalur Gemilang diiringi lagu Negaraku.
Ismail Sabri dan isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dalam siaran secara maya turut dilihat berdiri ketika lagu Negaraku berkumandang.
Usai acara tersebut, ikrar Rukun Negara dibacakan dengan diakhiri laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali yang disempurnakan oleh tujuh petugas barisan hadapan.
Ia diketuai wakil dari Kementerian Pendidikan iaitu Luqman AlHakim Mohd Tamyes selain anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Agenda sambutan diteruskan dengan persembahan pancaragam gabungan drum line ATM yang disertai 60 anggota daripada TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Darat Malaysia.
Selain memainkan beberapa lagu patriotik dan menampilkan seni taekwando tempur tanpa senjata, kumpulan pancaragam yang diketuai Staf Sarjan Mad Zain Medol itu turut menampilkan aksi faktor ‘wow’ iaitu persembahan semburan api dengan menyembur minyak tanah dari mulut ke arah nyalaan api kecil bagi menghasilkan bulatan api besar.
Sejurus tamat aksi mendebarkan itu, persembahan kawad senyap oleh 60 anggota TLDM dipimpin Laskar Kanan PAP Mohd Helmi Masuhudi dan disusuli dengan persembahan pancaragam gabungan badan beruniform yang dipimpin Mejar Mohd Rizal Mohd Nor.
Pancaragam gabungan badan beruniform itu yang disertai 80 anggota ATM, PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, APM, JBPM dan RELA bergabung tenaga dalam menyampaikan persembahan pelbagai irama lagu patriotik.
Kemuncak tarikan persembahan sempena Hari Kebangsaan 2021 ialah pertunjukan udara oleh aset-aset TUDM dengan deruman enjin pesawat pejuang menggegarkan ruang udara Putrajaya dan para tetamu yang hadir kelihatan mendongak untuk merakamkan pertunjukan formasi pesawat di ruang angkasa.
Formasi penerbangan pesawat pejuang membabitkan Sukhoi Su-30MKM, F/A 18D Hornet dan BAE Hawk 108 diketuai oleh Lt Kol Mohd Norazan Othman, yang sempat bersiaran secara langsung dari dalam pesawat sebelum melakukan aksi udara itu.
Pertunjukan udara itu menarik minat penduduk Putrajaya untuk ke kawasan lapang seperti Dataran Putra dengan tahap kepatuhan SOP serta tidak melakukan perkumpulan untuk menyaksikan formasi pesawat tersebut.
Acara diakhiri dengan tayangan lagu Menang Bersama yang dinyanyikan artis Faizal Tahir hasil ciptaan Pengarah Muzik Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) Datuk Mokhzani Ismail, dan sebelum meninggalkan majlis para tetamu mengibarkan bendera Malaysia dengan diiringi lagu Jalur Gemilang.
Antara kenamaan yang hadir secara fizikal di Dataran Pahlawan ialah menteri-menteri kanan iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Fadillah Yusof, Datuk Dr Radzi Jidin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Tayangan secara langsung sambutan yang disiarkan di semua stesen televisyen tempatan, Facebook Live Merdeka360 dan Facebook Live Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengaplikasikan teknologi ‘Mix Reality’ iaitu gabungan penerbitan secara fizikal, teknologi AR (Augmented Reality) serta XR (Extended Reality), yang berbentuk interaktif dan berteknologi tinggi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.